Piston.my

Koenigsegg Jesko Absolut Pecah Rekod Dunia 0–400–0 km/j

Koenigsegg sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam dunia automotif dengan merampas semula rekod dunia 0–400–0 km/j bagi kereta sah jalan raya melalui model Jesko Absolut. Ujian kelajuan ini dilaksanakan di Lapangan Terbang Örebro, Sweden, mencatatkan masa luar biasa 25.21 saat.

Dikendalikan oleh pemandu ujian rasmi, Markus Lundh, pencapaian baharu ini memecahkan rekod terdahulu Koenigsegg pada 2024 dengan kelebihan lebih 2.5 saat, walaupun dijalankan di atas permukaan tarmac yang sedikit basah. Jesko Absolut meluncur dari keadaan pegun ke 400 km/j dalam hanya 16.77 saat sebelum membrek sehingga berhenti sepenuhnya dalam 8.44 saat. Satu lagi percubaan berasingan bagi jarak 0–402–0 km/j mencatatkan masa 25.67 saat.

Peningkatan prestasi ini didorong oleh penambahbaikan perisian baharu yang digelar “Absolut Overdrive”. Sistem ini mengoptimumkan kerjasama antara pacuan, pengurusan enjin dan kawalan tork, sekaligus memberikan pecutan dan kawalan yang lebih efisien. Menariknya, kemas kini perisian ini turut akan ditawarkan kepada pemilik Jesko Absolut sedia ada.

Jesko Absolut dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter twin-turbo, dipadankan dengan aerodinamik rintangan rendah dan sistem cengkaman berprestasi tinggi. Gabungan ini membolehkannya menewaskan hypercar elektrik pacuan semua roda dalam kelajuan garisan lurus, meskipun hanya menggunakan pacuan roda belakang.

Pengasas Koenigsegg, Christian von Koenigsegg, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti hasil kerjasama mantap dan kepakaran jurutera dalaman syarikat. Rekod tersebut telah disahkan secara rasmi oleh Racelogic, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Koenigsegg sebagai pengeluar hypercar terpantas di dunia.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan