Piston.my

Proton X50 Baharu Kini Akan Datang dengan RFID

Proton dan Touch ‘n Go Sdn. Bhd. mengumumkan kerjasama strategik untuk  mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go ke dalam Proton X50 serba baharu. Kerjasama ini, yang dimeterai melalui  Memorandum Persefahaman (MoU), menandakan satu pencapaian penting dalam memacu ekosistem mobiliti terhubung  di Malaysia. 

Di bawah perjanjian ini, setiap Proton X50 baharu akan dilengkapi dengan tag RFID Touch ‘n Go terus di barisan  pengeluaran, membolehkan akses lancar ke rangkaian lebuh raya berteknologi RFID di seluruh Malaysia. Inisiatif ini  mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat untuk menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih pintar dan mudah  bagi pengguna di Malaysia. 

Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di ibu pejabat Proton Centre of Excellence di Shah Alam.  Penandatangan bagi pihak MoU ini ialah Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, dan Zhang Qiang,  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, manakala saksi bagi perjanjian ini ialah Jarrod Wong, Pengarah Jualan  Touch ‘n Go, serta Ong Chee Wooi, Ketua Jualan Proton Edar. 

“Ini tentang kepuasan segera,” kata Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd. “Anda memandu  keluar Proton X50 baharu dari bilik pameran dengan RFID yang sudah siap dipasang — begitu sahaja. Ini bukan sekadar  mengenai mobiliti pintar; ia mengenai membawa nilai sebenar dan keseronokan ke dalam perjalanan harian.” 

Beliau menambah, “Sebagai dua syarikat tempatan yang dibanggakan, kerjasama ini adalah satu bentuk penghargaan  terhadap potensi apabila juara tempatan bekerjasama. Ia digerakkan dengan tujuan untuk mencipta pengalaman yang  lebih lancar bagi masyarakat yang menerima perkhidmatan kami, menjadikan mobiliti harian lebih mudah, pantas dan  intuitif. Touch ‘n Go berbangga untuk sama-sama mencipta pencapaian ini bersama Proton — untuk rakyat Malaysia,  oleh rakyat Malaysia.” 

Dilancarkan pada 24 Julai lalu dengan sambutan pasaran yang memberangsangkan, Proton X50 serba baharu mencatat  kejayaan pantas dengan 2,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan hanya tiga minggu selepas pelancaran rasminya.  Menggabungkan rekaan luaran dan dalaman baharu, teknologi sambungan terkini, serta enjin turbo i-GT 1.5 liter yang  berkuasa, SUV segmen-B yang menjadi peneraju pasaran ini adalah model Proton pertama yang dilengkapi dengan  tag RFID Touch ‘n Go sebagai ciri standard bagi semua varian. 

“Proton X50 telah menjadi produk utama Proton untuk rangkaian SUV kami dan setakat ini, lebih 140,000 unit telah  dikeluarkan dari kilang di Tanjong Malim. Dengan pelancaran Proton X50 serba baharu, kami telah membuat lonjakan  besar dalam meningkatkan nilai pembelian untuk pelanggan dengan menawarkan rekaan dan teknologi baharu sambil mengekalkan harga yang sama. Melalui kerjasama dengan Touch ‘n Go, Proton menambah satu lagi ciri baharu yang  seiring dengan slogan model ini — Intelligence That Amazes,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  Proton Edar. 

Selain Proton X50, terdapat potensi untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua syarikat ini kepada model-model  Proton lain, bagi menawarkan pengalaman pemanduan lancar yang sama kepada pembeli. 

“Dengan pelancaran model baharu lain yang sedang dirancang, Proton bercadang untuk memperluaskan pemasangan  tag RFID Touch ‘n Go kepada model lain bagi menawarkan tahap kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan.  Matlamat kami adalah untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan, dan kami percaya ini adalah salah satu langkah  ke arah mencapai matlamat tersebut,” tambah Zhang Qiang.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan