Proton kini semakin mendekati era baharu automotif dengan kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) canggihnya di Tanjung Malim hampir siap sepenuhnya. Dengan proses pengeluaran berskala penuh dijadualkan bermula pada September, projek ini menunjukkan dedikasi dan kecekapan pasukan, di mana hanya enam bulan selepas upacara pecah tanah pada Februari, pembinaan infrastruktur bangunan telah mencapai 90.4% dan pemasangan peralatan pada 83.5%, menjadikan kemajuan keseluruhan projek pada 86.9%.
Apabila telah siap sepenuhnya, kilang baharu ini akan menjadi pusat pengeluaran pelbagai model yang dibina di atas platform Global Modular Architecture (GMA). Model pertama yang bakal menempa sejarah ialah Proton e.MAS 7, sebuah EV yang akan menjadi kebanggaan jenama automotif Malaysia. Pelancaran model ini akan disusuli dengan Proton e.MAS 5, sebuah EV peringkat permulaan yang kini giat dipamerkan dalam siri jelajah seluruh negara, sekali gus menjadikan ia model yang paling dinanti-nantikan di Malaysia.
Direka bentuk dengan teliti, susun atur kilang EV Proton menekankan ciri kebolehskalaan bagi menampung pelbagai model dan peningkatan volum pengeluaran pada masa hadapan. Dengan kapasiti pengeluaran permulaan sebanyak 20,000 unit setahun, ia berupaya diperluaskan dan menampung kapasiti sehingga 45,000 unit. Pengembangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, sejajar dengan pertumbuhan permintaan pasaran di Malaysia dan di luar negara.
Untuk kawasan-kawasan utama, setiap barisan peneluaran boleh menambah beberapa stesen dengan barisan penguji yang modular dan mampu menampung variasi platform atau pengeluaran pelbagai model. Di kawasan logistik, kilang ini berupaya untuk pengembangan masa hadapan, dengan aliran logistik dan sistem storan yang dioptimumkan bagi menyokong pasaran tempatan dan eksport. Infrastruktur seperti sistem utiliti, laluan pengendalian bahan, dan alat kebolehkesanan digital seperti Manufacturing Execution System (MES) dan Warehouse Management System (WMS) telah pun tersedia untuk menyokong peningkatan skala masa hadapan tanpa reka bentuk semula.
Menurut Wan Yousry bin Mohamed, Ketua Kejuruteraan Pembuatan di Proton, salah satu pencapaian kritikal yang telah dicapai ialah Ujian Mesin (Machine Try Out, MTO), di mana badan kereta pertama diuji di kilang. Beliau menekankan, “Ujian percubaan ini bertujuan untuk memastikan kesediaan peralatan kami secara berterusan. Kami kini berada di peringkat akhir untuk menyediakan zon bagi pemasangan dan integrasi peralatan TF. Semua aktiviti penentukuran dan pengesahan peralatan akan dijalankan secara progresif semasa fasa-fasa ini, sekali gus memastikan kami bersedia sepenuhnya untuk pelancaran pengeluaran.”
Bagi menyokong peningkatan sebelum pelancaran, fokus pengambilan pekerja segera kilang adalah pada peranan operasi dan teknikal yang kritikal. Sehingga kini, seramai 30 pekerja bukan eksekutif dengan latar belakang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma telah direkrut, dengan matlamat segera untuk melatih sepenuhnya kakitangan utama ini sebelum pengeluaran berskala penuh bermula pada bulan September.
Pembangunan kilang ini dijangka menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan, terutamanya dalam bidang industrialisasi EV dan perkhidmatan teknikal. Bagi memperkukuhkan bakat tempatan, Proton telah menjalin kerjasama strategik dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS). Melalui perkongsian ini, Proton menyumbang input silibus teknikal dan menyokong inisiatif latihan amali, sekali gus memastikan pembelajaran akademik selari dengan keperluan industri dan memacu pembangunan tenaga kerja jangka panjang.
Berlainan dengan barisan pengeluaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), barisan pengeluaran EV memerlukan kawasan khusus untuk pemasangan bateri, langkah keselamatan voltan tinggi, serta proses ujian elektrik. Susun atur kilang baharu dapat menampung bahagian bawah EV yang rata dan unit pemacu elektrik, menampilkan zon khusus, keselamatan yang dipertingkatkan, dan konfigurasi barisan yang fleksibel untuk kebolehskalaan masa depan.
Rakan kongsi Proton pula, Geely, telah menyediakan panduan teknikal mengenai sistem pengeluaran, membantu dalam pemilihan peralatan, dan menempatkan pakar untuk membantu pemasangan serta ujian percubaan. Selain itu, Geely juga memudahkan latihan di luar negara untuk kakitangan Proton dan memastikan kilang itu selari dengan piawaian pembuatan EV global. Ini menjamin kilang tersebut memenuhi keperluan semasa dan menawarkan kebolehskalaan jangka panjang.

