Piston.my

Volkswagen Catat 1.5 Juta Penghantaran EV

Volkswagen meraikan pencapaian penting dalam perjalanan elektrifikasinya dengan menyerahkan kenderaan elektrik (EV) ke-1.5 juta daripada siri ID. kepada pelanggan. Kereta bertuah itu ialah sebuah Volkswagen ID.7 Tourer Pro berwarna hitam, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 606km bagi sekali cas. Majlis penyerahan berlangsung di kilang Emden, Lower Saxony, Jerman.

Upacara itu turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi Lower Saxony, Olaf Lies, bersama eksekutif kanan Volkswagen, Martin Sander dan Kai Grünitz. Pelanggan yang berasal dari Vechta menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan Volkswagen dalam pasaran EV yang semakin kukuh, khususnya di Eropah.

Sejak pelancaran ID.3 pada 2020, Volkswagen telah muncul sebagai peneraju pasaran EV Eropah, sering mendominasi carta pendaftaran di Jerman dan negara sekitarnya. Syarikat itu menegaskan bahawa siri ID. adalah tunjang utama transformasi elektrifikasinya, dibangunkan untuk memenuhi keperluan praktikal pengguna moden.

Kilang Emden, tempat ID.7 Tourer itu dihasilkan, mencerminkan perubahan besar Volkswagen. Lebih €1 bilion telah dilaburkan untuk menukar fasiliti ini kepada pusat pengeluaran EV sepenuhnya. Ia kini berdiri sebaris dengan kilang Zwickau dan Dresden di Jerman, serta fasiliti lain di Hanover, Chattanooga (AS) dan beberapa kilang di China, yang sama-sama menghasilkan model ID.

Barisan EV Volkswagen semakin meluas, bermula dengan ID.3, diikuti ID.4 dan ID.5 SUV, ID. Buzz, serta model terbaharu ID.7 dan ID.7 Tourer. Menariknya, ID.7 Tourer telah dinobatkan sebagai EV paling laris di Jerman pada separuh pertama 2025. Olaf Lies menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kekuatan industri automotif di Lower Saxony serta keupayaannya menyesuaikan diri dengan masa depan mobiliti.

Namun begitu, Volkswagen mengakui pertumbuhan pasaran EV masih sangat bergantung pada insentif kerajaan. Buat masa ini, sebahagian besar pendaftaran datang daripada syarikat yang menikmati pelepasan cukai, manakala pembeli persendirian memerlukan sokongan tambahan untuk beralih kepada mobiliti elektrik.

Bagi masa depan, Volkswagen berazam untuk menjadikan EV lebih mampu milik. Model ID.2all yang dijadualkan tiba pada 2026 bakal ditawarkan pada harga di bawah €25,000 (sekitar RM129,000), manakala ID.1, yang dijangka dilancar pada 2027, disasarkan pada sekitar €20,000 (lebih kurang RM103,000). Dengan langkah ini, Volkswagen mahu memastikan kereta elektrik dapat diakses oleh pasaran besar, tanpa mengorbankan aspek kebolehpercayaan dan kelestarian.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan