OMODA | JAECOO Malaysia telah memperkenalkan model terbaharu mereka, Jaecoo J5, buat pertama kalinya di Karnival Desa ParkCity, Kuala Lumpur. Crossover segmen-B ini digelar sebagai “Everyday Superstar”, direka khas untuk keluarga muda dan pemandu bandar yang mahukan kenderaan praktikal tanpa mengorbankan gaya serta teknologi moden.
Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380mm panjang, 1,860mm lebar dan 1,650mm tinggi, dengan jarak roda 2,620mm – sedikit lebih panjang berbanding Proton X50. Ia dilengkapi rim aloi aluminium bersaiz 18 inci bersama tayar 235/55 R18, menawarkan kestabilan pemanduan dengan sentuhan sporty.
Bahagian enjinnya menempatkan unit 1.5 liter pengecas turbo empat silinder yang menghasilkan 147PS dan 210Nm tork, dipadankan bersama transmisi CVT. Penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 7.5L/100km (WLTC), menjadikan ia sesuai sebagai kenderaan harian yang menjimatkan tetapi tetap bertenaga untuk pemanduan di lebuh raya.
Ruang kabin tampil kemas dengan balutan kulit sintetik sepenuhnya, manakala kapasiti but berjumlah 480 liter boleh dipertingkatkan hingga 1,180 liter apabila kerusi belakang dilipat. Menariknya, Jaecoo turut menekankan penggunaan bahan mesra haiwan peliharaan yang diperakui TÜV, menjadikannya sesuai untuk gaya hidup moden.
Dari aspek teknologi, J5 hadir dengan skrin kawalan pusat bersaiz 13.2 inci beresolusi 2K yang menyokong WiFi, dipadankan dengan paparan instrumen LCD 8.0 inci serta sistem audio 8 pembesar suara. Ciri bumbung panoramik (1.45㎡) yang luas turut memberikan suasana kabin lebih lapang – jarang ditawarkan dalam kelasnya.
Keselamatan pula diperkukuhkan dengan teknologi bantuan pemandu Tahap 2.5 (Level 2.5 ADAS) serta sistem kamera sekeliling HD 540 darjah, memberikan kelebihan dari segi perlindungan dan kemudahan kepada pemandu.
Dengan rekaan tajam, kelengkapan menyeluruh serta ruang dalaman yang pintar, Jaecoo J5 dilihat bersedia untuk mencabar pesaing utamanya seperti Proton X50. Malah, ia hadir dengan saiz lebih besar dan kabin yang lebih premium serta sarat teknologi untuk menarik perhatian pembeli tempatan.
















