Proton ditubuhkan pada tahun 1983 dengan misi utama: membangunkan kereta nasional dan memacu peralihan ekonomi Malaysia daripada berasaskan sumber kepada sektor perkilangan. Lebih daripada itu, Proton berperanan penting dalam menjayakan mobiliti peribadi, sekaligus memacu pergerakan masyarakat, kemahiran, dan pelaburan ke seluruh pelosok negara. Empat puluh dua tahun kemudian, Proton kekal komited pada misi asalnya, terus menjadi peneraju dalam pembangunan bakat untuk industri automotif.
Pada masa sama, Proton sedar bahawa industri automotif sedang mengalami transformasi yang belum pernah terjadi, beralih daripada persepsi tradisional kepada era yang didorong oleh teknologi canggih dan perkongsian global strategik, terutamanya dengan usaha ke hadapan dalam membangunkan kenderaan elektrik (EV).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, YB Chang Lih Kang, menekankan bahawa negara kini menghadapi kekurangan bakat mahir dalam bidang utama seperti Artificial Intelligence (AI), kemahiran digital, dan teknologi hijau, walaupun terdapat peningkatan sebanyak 10% dalam enrolmen STEM. Usaha Proton untuk menjadi platform latihan bagi generasi pekerja mahir seterusnya dilihat sebagai langkah strategik yang berpotensi membawa kesan meluas dalam industri automotif.
Wawasan strategik untuk pembangunan bakat
Menangani isu jurang kemahiran di peringkat nasional, Proton mengambil langkah proaktif dalam pembangunan bakat sejak 2018. Melalui program Proton Young Talent (PYT), seramai 311 bakat telah direkrut dalam 27 kumpulan untuk pelbagai peranan penting di Proton. Program ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh, bermula dari pembuatan canggih hingga operasi jualan strategik, bagi membolehkan bakat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam teknologi moden dan EV.
Di samping usaha dalaman, Proton turut aktif dalam membina tenaga mahir di peringkat nasional. Ia direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di bawah KESUMA. Kerjasama ini merupakan kunci untuk merapatkan jurang kemahiran, dengan fokus pada pembangunan modul latihan yang relevan dengan industri, penyediaan peluang latihan amali dan penempatan kerja, serta mengoptimumkan pembangunan bakat. Komitmen Proton ini diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Institut Teknologi Automotif Lanjutan Proton yang berdedikasi untuk meningkatkan pendidikan TVET bagi memenuhi permintaan sektor automotif.
Proton juga percaya dalam memberi kepercayaan penuh kepada bakat muda dengan menyerahkan tanggungjawab signifikan. Ini terbukti apabila seorang peserta PYT membuat pembentangan di hadapan khalayak lebih 1,000 orang, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada majlis pelancaran rasmi Proton e.MAS 7. Momen membanggakan ini jelas menunjukkan bagaimana bimbingan Proton telah berjaya membentuk belia Malaysia menjadi pemimpin projek, jurucakap, dan inovator yang berani— satu peluang yang tidak ternilai.
Pandangan daripada Proton Young Talent
Program Proton Young Talent (PYT) bukan sekadar membina kemahiran teknikal, malah juga memupuk keberanian dan pertumbuhan diri. Ini dibuktikan melalui pengalaman Umaibala A/L Rajendiran, seorang graduan kejuruteraan mekanikal berusia 24 tahun. Beliau merupakan salah seorang daripada lapan peserta PYT yang terpilih untuk penempatan enam bulan di China bersama Proton R&D dan Geely, memberinya peluang unik untuk merasai inovasi automotif global secara langsung. Pengalaman ini menyerlahkan komitmen program dalam meluaskan keupayaan teknikal dan memupuk perspektif global dalam kalangan bakat muda.

Sewaktu mendalami kerumitan sistem suspensi dan brek, Bala juga berpeluang mempelajari budaya Cina dengan lebih mendalam. “Apa yang paling mengejutkan saya tentang China ialah bukan sahaja kepantasan dan kecekapan industrinya, tetapi juga orang di sana amat membantu serta memberi sokongan,” kata Umaibala. Beliau mudah menjalinkan hubungan dengan penduduk tempatan yang membantunya dalam bahasa, dan pada masa sama menerima panduan berharga daripada jurutera senior Malaysia serta mentor dari Geely. Gabungan pendedahan antarabangsa yang mencabar dan rangkaian sokongan yang kukuh ini membuktikan bahawa inisiatif Proton, walaupun di luar negara, memastikan bakat muda seperti Bala memperoleh bukan sahaja pengetahuan teknikal, malah turut membangunkan kemahiran insaniah dan kecekapan budaya yang kritikal.
Proton percaya bahawa inovasi dijana melalui gabungan bakat yang pelbagai, dan bukan hanya terhad kepada jurutera dan pasukan teknikal. Syarikat ini sedar bahawa perspektif dari latar belakang bukan teknikal adalah kunci untuk kemajuan. Ini terbukti apabila ia mengukuhkan profesional muda dari pelbagai bidang akademik, termasuk yang tidak pernah terbayang akan bekerja dalam sektor automotif. Sebagai contoh, Halisha Halim, seorang graduan perakaunan, yang suatu ketika dahulu memfokuskan kerjayanya dalam analisis kewangan, menemui jalan tidak terduga.

Dalam Jabatan Komunikasi Kumpulan Proton, Halisha diberi tanggungjawab besar untuk membentuk naratif awam dan melindungi imej pengeluar kereta nasional ini. “Ramai yang beranggapan perlu menjadi jurutera untuk bekerja di Proton, tetapi sebenarnya terdapat pelbagai jabatan di mana pelbagai kemahiran adalah penting. Di sini, saya menulis siaran akhbar rasmi dan menguruskan libat urus media penting yang secara langsung mempengaruhi bagaimana Proton dilihat oleh mata awam,” kata Halisha Halim. Dengan bimbingan dan sokongan sewajarnya daripada pasukannya, Halisha berjaya meluaskan kemahiran serta wawasannya dalam industri automotif.
Untuk merevolusikan industri automotif, bukan sahaja kepakaran teknikal diperlukan, tetapi juga bakat dinamik yang berani meneroka sempadan baharu dan membentuk pandangan masyarakat. Lan Sue Sim, graduan sains komputer dengan AI berusia 24 tahun, membuktikan hal ini melalui peranan pentingnya dalam PRO-NET, di mana beliau berada di barisan hadapan dalam usaha elektrifikasi negara.

Lan diberi tanggungjawab untuk memahami dan mempengaruhi perkembangan pesat dalam pasaran EV. Hasil kajian PRO-NET menunjukkan rakyat Malaysia masih ragu-ragu untuk beralih kepada EV disebabkan kebimbangan mengenai jangka hayat bateri, ketersediaan pengecasan, dan ‘kerisauan julat’ (range anxiety).“EV masih baharu, jadi keraguan itu normal. Namun, perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan selalunya mencabar. EV direka dengan pek bateri tertutup dan standard keselamatan yang tinggi, serupa dengan model ICE di zon berisiko,” jelas Lan, sambil menangani salah tanggapan mengenai risiko memandu EV di kawasan hujan atau banjir, serta memberi jaminan kepada orang awam tentang kebolehpercayaan kenderaan tersebut.
