Siapa sangka, dua gergasi automotif Jerman — Mercedes-Benz dan BMW — yang selama ini menjadi pesaing utama, kini dilaporkan sedang menimbang kemungkinan untuk bekerjasama. Menurut Manager Magazin, Mercedes sedang meneliti perjanjian bagi mendapatkan enjin empat silinder daripada BMW, dengan rundingan dikatakan sudah berlangsung hampir setahun.
Langkah ini muncul ketika Mercedes berdepan keputusan kewangan yang suram. Pada Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Ola Källenius mendedahkan margin keuntungan bahagian kereta penumpang hanya 3.2%, iaitu yang terendah sejak 2020. Beliau mengakui bahawa pemotongan kos sahaja tidak cukup sekiranya Mercedes gagal menawarkan produk yang mampu memenuhi permintaan pasaran.
Antara cabaran terbesar ialah isu bekalan enjin. Mercedes tersilap menganggarkan jumlah enjin pembakaran dalaman yang diperlukan untuk menyokong barisan kenderaan hibrid plug-in. Pada awalnya, syarikat itu mempertimbangkan untuk mengambil enjin daripada rakan kongsi China, Geely, namun sensitiviti politik terutama di pasaran Amerika Syarikat menjadikan pilihan itu berisiko. Keadaan ini membuka laluan kepada BMW sebagai alternatif yang lebih selamat dan boleh diterima.
Difahamkan, Källenius mula membincangkan idea ini dengan Ketua Pegawai Eksekutif BMW, Oliver Zipse hampir setahun lalu. Kini, pasukan teknikal kedua-dua syarikat sedang memuktamadkan butiran perjanjian. Jika dimeterai, BMW dijangka mula membekalkan enjin seawal 2027, dengan pengeluaran berkemungkinan berpusat di loji Steyr, Austria, yang menghasilkan lebih sejuta enjin pada tahun 2024.
Fokus awal ialah pada enjin petrol empat silinder terbaharu BMW, namun skop kerjasama boleh diperluaskan kepada enjin diesel serta sistem rangkaian kuasa lain. Malah, terdapat perbincangan untuk menghasilkan enjin bersama di Amerika Syarikat bagi mengelakkan isu tarif.
Bagi Mercedes, langkah ini akan menandakan perubahan besar strategi. Källenius sebelum ini lantang menyuarakan komitmen untuk beralih daripada enjin pembakaran dalaman, tetapi realiti pasaran semasa menuntut lebih fleksibiliti. Bagi BMW pula, perkongsian ini membawa manfaat dari segi jaminan kapasiti pengeluaran, pendapatan tambahan, serta peningkatan prestij apabila pesaing tradisional sepertimana Mercedes turut memilih rangkaian kuasanya.
BMW sememangnya sudah lama menjadi pembekal enjin untuk jenama lain, termasuk Morgan, Ineos, Toyota dan Land Rover. Namun, menambah Mercedes-Benz ke senarai tersebut pasti akan menjadi detik bersejarah. Seperti yang dihuraikan oleh BMWBlog, kerjasama ini akan memperkukuh reputasi BMW sebagai penanda aras kejuruteraan enjin, sambil mengubah landskap persaingan kereta mewah Jerman.
Jika benar-benar dimuktamadkan, perjanjian ini bakal tercatat sebagai salah satu pakatan paling mengejutkan dalam industri automotif moden, membuktikan bahawa bahkan musuh tradisi sanggup berganding bahu demi menyesuaikan diri dengan era transformasi pesat.

