Piston.my

Kempen Electrify Your Life Tamat di Shah Alam, Pemenang Utama Membawa Pulang Proton e.MAS 5

PRO-NET, anak syarikat milik Proton, menutup tirai Jelajah Electrify Your Life hujung minggu lalu di Central i-City, Shah Alam. Acara kemuncak ini sekaligus menandakan berakhirnya kempen tiga bulan yang membawa kereta elektrik nasional pertama, Proton e.MAS 7, lebih dekat dengan komuniti di seluruh negara.

Sejak pelancarannya pada bulan Mei yang lalu, kempen Electrify Your Life telah mendekati puluhan ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru dan Shah Alam. Sepanjang jelajah ini, pengunjung berpeluang merasai pengalaman EV secara lebih dekat melalui zon gaya hidup, pandu uji interaktif serta sesi perkongsian ilmu bersama personaliti automotif. Antara tarikan utama kempen ini ialah Peraduan Electrify Your Life, yang mengajak rakyat Malaysia berkongsi slogan kreatif untuk berpeluang merebut hadiah-hadiah eksklusif.

Peraduan ini menerima lebih 31,000 penyertaan melalui platform dalam talian, siri jelajah seluruh negara dan juga dari rangkaian pengedar. Jumlah besar ini jelas membuktikan semangat tinggi serta kesediaan rakyat Malaysia untuk melangkah ke era mobiliti elektrik bersama barisan Proton e.MAS.

“Kempen Electrify Your Life ini bertujuan untuk menjadikan penerimaan EV lebih mudah difahami, sesuatu yang dekat dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia serta mampu memberi inspirasi. Melihat kepada sambutan yang diterima, jelas matlamat itu telah berjaya, ujar Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang. Beliau menambah, walaupun kempen ini sudah berakhir, PRO-NET tetap komited untuk membimbing Malaysia menuju masa depan yang lebih bersih, canggih dan lestari.”

Pemenang Utama Bawa Pulang Proton e.MAS 5 yang Bakal Dilancarkan

Tirai penutup kempen ini di Shah Alam turut menyaksikan pengumuman Pemenang Hadiah Utama Peraduan Electrify Your Life: Encik Shahrul Aizat Bin Ishak.

Beliau membawa pulang Proton e.MAS 5 yang bakal dilancarkan, lebih awal daripada majlis pelancaran rasmi. Slogan kemenangannya ialah: 

  • “Proton e.MAS menjadikan hidup saya tenang tanpa bunyi, tangkas tanpa kompromi, dan terpacu dengan inovasi.”

Apabila ditanya mengenai kemenangannya, Encik Shahrul Aizat berasa sangat teruja. Katanya, beliau hanya menyertai peraduan ini untuk menunjukkan sokonganya untuk kempen Proton e.MAS tanpa menyangka akan meraih hadiah utama. “Saya memang terkejut bila diumumkan sebagai pemenang. Tambahan pula, slogan itu saya hasilkan bersama isteri, jadi bila dipilih daripada lebih 31,000 penyertaan memang rasa sangat bertuah. Saya tak sabar nak bawa keluarga dan ibu bapa berjalan dengan Proton e.MAS 5 baharu ini kerana ia pasti jadi perjalanan yang cukup istimewa buat kami semua,” ujarnya sambil tersenyum.

“Kempen Electrify Your Life ini sebenarnya bukan hanya sekadar mempamerkan kereta elektrik tetapi ia tentang bercerita, berkongsi ilmu, dan membimbing rakyat Malaysia untuk memahami apa ertinya menjadikan EV sebahagian daripada gaya hidup”, kata Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Puan Salawati Yusoff. “Di setiap hentian jelajah kempen ini, kami dapat melihat keluarga yang teruja bertanya pelbagai soalan, anak muda mencuba pengalaman EV buat kali pertama, dan orang ramai mula membuka hati kepada cara pemanduan yang lebih moden dan mesra alam.”

Beliau menambah, “bagi kami, itulah sebenarnya impak yang paling bermakna. PRO-NET bukan sekadar pengeluar kereta elektrik, tetapi rakan yang membantu rakyat Malaysia beralih ke arah masa depan yang lebih bersih dan pintar.”

Penutup Jelajah Utara MISI 5, Destinasi Seterusnya Pantai Timur

Jelajah MISI 5, pra-tonton Proton e.MAS 5 yang sedang berlangsung di 13 negeri seluruh negara sebelum pelancaran rasminya, baru-baru ini menutup tirai di Wilayah Utara merangkumi negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak dari 22 hingga 24 Ogos.

Jelajah ini akan diteruskan ke bahagian Pantai Timur pada 4 hingga 7 September, dengan persinggahan di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di sana, rakyat Malaysia berpeluang melihat lebih dekat Proton e.MAS 5 di lokasi terpilih serta bilik pameran Proton e.MAS.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan