Audi telah memperkenalkan Q3 serba baharu, sebuah SUV kompak yang menggabungkan rekaan sporty, teknologi pintar dan kepraktisan harian. Model ini dijangka tiba di bilik pameran menjelang akhir tahun dengan penawaran lebih cekap, sistem bantuan pemandu yang canggih serta teknologi pencahayaan yang pertama dalam kelasnya.
Rekaan Baharu dengan Sentuhan Sporty
Q3 tampil lebih berani dengan gril hadapan yang lebih besar, lampu utama tajam dan garisan bahu yang tegap, memberikan imej dinamik. Bagi mereka yang gemarkan gaya lebih bergaya, Q3 Sportback menawarkan rekaan seakan-akan coupé dengan bumbung lebih rendah untuk penampilan lebih sporty.
Bahagian belakang pula hadir dengan pilihan lampu belakang digital OLED futuristik serta logo Audi bercahaya, manakala bahagian hadapan dilengkapi lampu utama Matrix LED dengan teknologi mikro-LED yang memberikan tahap penglihatan lebih jelas dan corak pencahayaan unik.
Kabin Lebih Pintar dan Luas
Di ruang dalaman, Audi memperkenalkan sistem stereng baharu yang membebaskan lebih banyak ruang pada konsol tengah untuk tujuan penyimpanan. Cermin akustik turut ditawarkan sebagai pilihan bagi pengalaman pemanduan lebih senyap.
Dari segi praktikaliti, Q3 kekal unggul dengan ruang but sehingga 1,386 liter bagi versi SUV (1,289 liter untuk Sportback) serta tempat duduk belakang yang boleh dilaraskan dengan fleksibel. Menariknya, model ini juga mampu menarik beban sehingga 2,100kg, sesuai untuk kegunaan serba boleh.
Pilihan Enjin dan Hibrid
Audi Q3 baharu bermula dengan enjin 1.5 liter turbo petrol (150hp) yang dipadankan teknologi hibrid ringan. Pilihan enjin diesel 2.0 liter turut tersedia.
Bagi mereka yang mahukan kuasa lebih tinggi serta kecekapan, versi plug-in hybrid (PHEV) ditawarkan pada kedua-dua model SUV dan Sportback dengan output sehingga 272hp serta jarak pemanduan elektrik mencecah 119km. Bateri ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50kW.
Pemanduan Lebih Selesa dan Teknologi Keselamatan Terkini
Sistem suspensi telah ditala semula bagi memberikan keselesaan lebih baik, dengan pilihan sport suspension atau adaptive suspension untuk pemanduan lebih lincah.
Aspek keselamatan diperkukuh dengan kamera pemantauan pemandu, sistem kawalan jelajah adaptif yang lebih pintar, serta sistem parkir dinaik taraf termasuk reverse assist untuk membantu di ruang sempit.
Harga dan Pelancaran
Audi Q3 serba baharu akan mula dijual bermula Oktober 2025, dengan harga di Jerman bermula dari €44,600 (anggaran RM229,000) bagi versi SUV dan €46,450 (anggaran RM239,000) bagi versi Sportback.





