Piston.my

OMODA | JAECOO Julang Juara Pertandingan Kemahiran Teknikal Pertama di Malaysia

OMODA | JAECOO buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Kemahiran Teknikal Malaysia, yang berakhir dengan aksi penuh mendebarkan, sekali gus menyerlahkan fokus jenama ini terhadap kepakaran teknikal dan penjagaan pelanggan di negara ini.

Pertandingan bermula dengan 132 pakar teknikal dari 48 pengedar seluruh negara. Setelah beberapa bulan persediaan dan saringan ketat, hanya 10 finalis berjaya mara ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara kebangsaan.

Gelaran tertinggi dimenangi oleh Wong Sau Seng dari Gagner Auto Sdn Bhd, hasil ketekunannya bersama sokongan syarikat serta bimbingan mentor yang berterusan. Wong kini akan membawa nama Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Dunia OMODA | JAECOO yang bakal berlangsung di China pada bulan Oktober nanti.

Naib juara dimenangi Ng Chen Ton dari CarShen Sdn Bhd, manakala tempat ketiga diraih oleh Syasya Mazdiana binti Nor Azman dari Anggerik Auto Sdn Bhd.

Syasya menjadi satu-satunya finalis wanita, membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu bersaing dalam industri automotif yang lazimnya didominasi lelaki. Pencapaiannya menyerlahkan kepentingan keyakinan diri, ketabahan dan semangat untuk terus belajar, di samping menzahirkan komitmen OMODA | JAECOO terhadap kepelbagaian dan kesaksamaan gender.

Para finalis dinilai berdasarkan ujian teori (30%) dan kemahiran praktikal (70%). Mereka perlu menunjukkan pengetahuan produk yang mendalam, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran teknikal secara langsung melalui tugasan pembaikan sebenar.

Proses penjurian dikendalikan oleh panel yang terdiri daripada pakar teknikal kanan Chery Malaysia serta jurulatih utama, memastikan hanya peserta terbaik dinobatkan sebagai pemenang.

Menurut OMODA | JAECOO, pertandingan ini bukan sekadar acara pertandingan, tetapi merupakan usaha untuk meningkatkan standard perkhidmatan dan melahirkan bakat baharu dalam industri automotif negara. Dengan memberi peluang kepada juruteknik untuk berdaya saing di peringkat global, jenama ini berharap dapat menetapkan penanda aras baharu dalam aspek khidmat pelanggan dan kecemerlangan teknikal.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan