Piston.my

BYD Yangwang U9 Jadi Kereta Elektrik Paling Laju di Dunia

BYD sekali lagi mencipta sejarah apabila prototaip Yangwang U9 berjaya mencatatkan kelajuan tertinggi 472.41 km/j, menjadikannya kereta elektrik terpantas di dunia.

Pencapaian ini bukan sahaja menobatkan U9 sebagai kereta paling laju di China, malah meletakkannya setaraf dengan beberapa hypercar terkenal dunia. Rekod terbaharu ini hadir hanya beberapa bulan selepas U9 mencatat 391.94 km/j pada November lalu, bermakna terdapat peningkatan prestasi hampir 20%.

Dengan kelajuan baharu itu, U9 kini hampir menyamai hypercar berkuasa petrol seperti Koenigsegg Jesko Absolut (531 km/j), Bugatti Chiron Super Sport 300+ (490 km/j) dan SSC Tuatara (474.8 km/j). Hakikat bahawa sebuah kereta elektrik mampu mendekati kelajuan mesin-mesin legenda ini jelas membuktikan sejauh mana teknologi EV telah berkembang.

Lebih menarik, Yangwang U9 hadir dengan tanda harga sekitar RM1.1 juta. Jika dibandingkan, hypercar lain dalam kategori sama biasanya dijual pada harga antara RM6.5 juta hingga RM19.6 juta. Walaupun masih dianggap mahal, U9 menawarkan prestasi luar biasa pada kos yang jauh lebih rendah berbanding pesaingnya.

Kejayaan ini memperlihatkan komitmen BYD untuk membawa prestasi kereta elektrik ke tahap baharu. Dengan rekod ini, Yangwang U9 membuktikan bahawa jurang antara kereta elektrik dan hypercar tradisional semakin mengecil, sekali gus membuka era baharu dalam dunia automotif berkelajuan tinggi.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan