Piston.my

Rolls-Royce Perkenal Koleksi Eksklusif Spectre ‘Inspired by Primavera’

Rolls-Royce sekali lagi mengangkat taraf kemewahan automotif apabila memperkenalkan koleksi edisi khas bagi model coupé elektrikya, Spectre. Dinamakan “Inspired by Primavera” – yang bermaksud musim bunga dalam bahasa Itali – koleksi ini diraikan sebagai simbol keindahan dan pembaharuan musim tersebut melalui rekaan yang amat terperinci serta penuh seni.

Tiga Rekaan Eksklusif

Koleksi ini ditawarkan dalam tiga interpretasi unik iaitu Evanescent, Reverie dan Blossom. Setiap versi menonjolkan sisi berbeza musim bunga, daripada keindahan bunga yang mekar hingga warna-warna lembut yang melambangkan suasana segar. Proses tempahan dibuka sehingga awal tahun hadapan, manakala penghantaran pertama dijadualkan bermula pada musim bunga tahun 2026.

Motif Bunga Sakura

Tema utama koleksi ini berpusat pada bunga sakura, yang menjadi lambang pembaharuan. Lukisan tangan bertemakan bunga ini diterjemahkan kepada perincian pada kereta, termasuk garis coachline yang dicat di bahagian luar, rim 23 inci dengan rekaan bunga, serta kemasan dalaman seperti sulaman pada perehat kepala, plat ambang pintu dan panel kayu yang diukir menggunakan teknologi laser.

Ruang Dalaman Bintang

Kemewahan diteruskan ke bahagian kabin dengan sentuhan bertema cakerawala. Pintu Starlight menampilkan hampir 5,000 cahaya gentian optik, manakala bahagian fascia pula dihiasi lebih 5,500 “bintang” bercahaya yang disusun mengelilingi logo Spectre, diinspirasikan daripada gugusan bintang musim bunga.

Tiga Varian Utama

  • Evanescent – Warna badan Crystal over Arctic White dengan sentuhan turquoise, dipadankan dengan kabin serba putih yang dihiasi kemasan turquoise dan jaluran Chartreuse.

  • Reverie – Warna badan Duck Egg Blue bersama perincian Forge Yellow, manakala ruang dalaman tampil harmoni dengan gabungan kulit putih dan biru.

  • Blossom – Kemasan luar Velvet Orchid Metallic bersama sorotan Forge Yellow, digandingkan dengan dalaman kulit putih yang ceria dengan aksen merah jambu dan jahitan kuning.

Sebuah Penghormatan kepada Musim Bunga

Menurut Rolls-Royce, koleksi Spectre Inspired by Primavera bukan sekadar sebuah kereta, tetapi merupakan hasil seni bergerak yang memadukan simbolisme, ketukangan halus serta visi masa depan elektrik sepenuhnya. Setiap varian bukan sahaja menghidupkan keindahan musim bunga yang sementara, malah menyerlahkan falsafah Rolls-Royce dalam menggabungkan seni, warisan, dan teknologi moden.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan