Piston.my

Konsep Baharu Audi Coupe Elektrik Bocor

Sebuah model konsep Audi bocor di internet, mendahului pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung di Milan dan Pameran Motor Munich minggu depan.

Gambar coupe elektrik itu pada mulanya muncul di laman Facebook rasmi Audi Canada sebelum dipadamkan, namun sudah cukup pantas dikongsi semula melalui seorang pengguna Instagram.

Model dua pintu tersebut yang masih belum didedahkan namanya menampilkan bahasa reka bentuk yang berani – garisan bersegi tajam, lampu hadapan yang nipis serta lampu belakang tirus. Paling mencuri perhatian ialah penggunaan louvre menggantikan cermin belakang, satu ciri unik yang sebelum ini hanya dibayangkan melalui video acah rasmi Audi.

Konsep ini dipromosikan dengan slogan “Strive for clarity”, yang mengaitkan kereta tersebut dengan warisan rekaan ikonik Audi seperti TT generasi pertama, konsep Avus Quattro, dan jentera perlumbaan Auto Union era 1930-an. Lebih menarik, ia merupakan projek sulung ketua reka bentuk baharu Audi, Massimo Frascella, yang menyertai syarikat itu pada 2024 selepas lebih 10 tahun bersama Jaguar Land Rover. Frascella menekankan pendekatan rekaan yang lebih moden, ringkas dan berpandangan jauh – berbeza daripada mengitar semula gaya retro.

1991 Avus Quattro Concept

Berbeza dengan sesetengah kereta konsep yang sekadar menjadi kajian reka bentuk, model ini dijangka menuju ke jalur produksi. Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner, sebelum ini mengesahkan bahawa semua konsep baharu akan direalisasikan menjadi produk sebenar. Spekulasi industri pula mengaitkan coupe elektrik ini dengan platform Porsche 718 generasi elektrik yang bakal diperkenalkan. Ia dijangka mengisi kekosongan antara TT yang telah dihentikan dan supercar R8, sekaligus muncul sebagai kereta sport elektrik generasi baharu Audi.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan