Honda Prelude mungkin baru sahaja membuat kemunculan semula, namun Mugen tidak membuang masa untuk memperkenalkan pakej naik taraf bagi coupe hibrid ini. Rumah talaan terkenal Honda itu telah mengesahkan bahawa kit badan penuh serta pakej prestasi kini dalam perancangan, dengan komponen dijangka tersedia pada tahun 2026.
Pakej tersebut akan merangkumi splitter gentian karbon, skirt sisi, diffuser dan spoiler belakang, disertai dengan sistem ekzos sport baharu. Aksesori ini akan melengkapkan barisan kelengkapan Mugen yang sedia ditawarkan untuk Prelude, termasuk penutup cermin sisi gentian karbon, set rim BBS bersaiz 19 inci, serta penapis minyak berprestasi tinggi.
Tidak ketinggalan, terdapat juga performance dampers khas hasil kerjasama dengan Yamaha, yang direka untuk mengurangkan lenturan casis dengan unit yang dipasang di bahagian hadapan dan belakang.
Bagi peminat yang mahu memperibadikan kereta mereka dengan lebih mendalam, Mugen turut menawarkan pelbagai sentuhan kosmetik dan fungsi tambahan. Antaranya ialah penutup minyak dan radiator unik, plat ambang pintu, nat roda, alas kaki, pelekat badan, hinggalah kepada penutup fabrik bagi takungan minyak brek.
Walaupun aksesori kecil ini tidak mengubah pengalaman pemanduan secara besar-besaran, ia tetap memberi nilai tambah kepada mereka yang mahu menonjolkan gaya serta keunikan coupe baharu ini.
Mugen Motorsports sememangnya sinonim dengan nama Honda. Ditubuhkan oleh Hirotoshi Honda, anak kepada pengasas Honda, Soichiro Honda, syarikat ini beroperasi secara bebas tetapi mengekalkan hubungan rapat dengan pengeluar tersebut. Hari ini, Mugen masih aktif dalam kejohanan Super GT dan Super Formula Jepun, selain menghasilkan komponen pasaran selepas jualan untuk kereta Honda, memastikan reputasinya terus kukuh di kalangan peminat di seluruh dunia.
Kembalinya Prelude mencerminkan usaha Honda untuk menawarkan sebuah grand tourer bergaya yang mampu milik, pada asasnya versi coupe kepada Civic Hybrid. Ia menggunakan sistem hibrid dua motor dengan kuasa sekitar 200hp, namun turut memperkenalkan mod eksklusif S+ Shift.
Mod ini membuatkan motor elektrik bagi meniru sensasi enjin pembakaran dalaman bersama transmisi tradisional, termasuk memaksa enjin petrol menjerit pada kelajuan tinggi untuk memberi kesan lebih realistik. Dalam konteks ini, ekzos sport keluaran Mugen berpotensi memainkan peranan penting dalam menonjolkan lagi karakter sporty Prelude generasi baharu.














