Porsche 911 Turbo S sejak sekian lama dikenali sebagai kereta sport serba lengkap. Ia pantas, selesa digunakan setiap hari, sesuai untuk perjalanan jauh, dan hadir dengan eksklusiviti istimewa jenama Porsche. Kini, model terbaharu ini melangkah lebih jauh dengan kuasa lebih besar, kawalan lebih tajam, aerodinamik pintar serta sentuhan kemewahan yang dipertingkatkan.
Di tengah segalanya ialah enjin T-Hybrid baharu yang menghasilkan 711PS dan 800Nm tork, menjadikannya 911 paling berkuasa pernah dihasilkan. Dengan sistem hibrid ringan Porsche dan dua pengecas turbo elektrik, kereta ini memberi tindak balas segera tanpa sebarang kelewatan turbo lag.
Angka prestasi memang luar biasa: 0-100km/j hanya dalam 2.5 saat, kelajuan maksimum mencecah 322km/j, serta catatan masa 7 minit 3.92 saat di Nürburgring – iaitu 14 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya.
Kuasa disalurkan melalui kotak gear PDK 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda. Porsche turut menaik taraf casis dengan tayar lebih lebar, suspensi baharu, serta brek seramik terbesar yang pernah dipasang pada Porsche dua pintu.
Reka bentuk aerodinamik memainkan peranan besar. Turbo S kini dilengkapi flap aktif, sayap belakang dan diffuser baharu yang berubah mengikut kelajuan dan keadaan pemanduan, mengurangkan rintangan udara sehingga 10% sambil meningkatkan cengkaman. Sistem ini juga membantu memastikan brek lebih kering ketika hujan.
Dari segi kawalan, ia hadir dengan Porsche Dynamic Chassis Control yang memastikan kereta kekal stabil ketika membelok tanpa menjejaskan keselesaan. Sistem angkat gandar hadapan turut diperbaharui dengan kelajuan lebih pantas, memudahkan pemanduan harian ketika melalui bonggol jalan.
Bunyi enjin turut dipertingkat dengan ekzos sukan titanium baharu, lebih ringan serta memberi tona lebih mendalam dan mengujakan pada enjin boxer 3.6 liter.
Dari luar, Turbo S menampilkan identiti rekaan baharu Porsche dengan butiran eksklusif Turbonite pada lencana, logo dan trim. Rupa lebih lebar, liang udara lebih besar dan tip ekzos titanium memberi penampilan agresif namun kekal elegan.
Bahagian dalam turut menerima sentuhan Turbonite pada jahitan, tali pinggang keselamatan dan trim. Hiasan gentian karbon, pelapik bumbung mikro-fiber, serta kerusi sukan dengan ukiran Turbo S menambah rasa eksklusif di ruang kabin.
Antara kelengkapan standard termasuk lampu utama HD Matrix LED, kerusi sukan adaptif dan pakej Sport Chrono. Pembeli juga boleh membuat pelbagai pilihan peribadi, daripada komponen gentian karbon hingga lebih 100 pilihan warna cat, malah kunci kereta yang boleh dipadankan dengan warna badan.
Ditawarkan dalam versi coupé dan cabriolet, dengan konfigurasi dua tempat duduk atau 2+2, Porsche 911 Turbo S baharu sekali lagi membuktikan bahawa Porsche sentiasa tahu cara untuk menetapkan penanda aras baharu dalam dunia supercar.

















