UMW Toyota Motor (UMWT) menutup bulan Ogos 2025 dengan pencapaian cemerlang apabila mencatatkan jualan 9,083 unit dalam tempoh sebulan sahaja. Prestasi ini menjadikan jumlah keseluruhan jualan Toyota sepanjang tahun meningkat kepada 62,246 unit, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan bukan nasional paling laris di Malaysia.
Toyota menjelaskan bahawa kejayaan ini berpunca daripada strategi menawarkan pilihan yang pelbagai kepada rakyat Malaysia – sama ada model petrol yang dipercayai ataupun pilihan hibrid yang lebih mesra alam. Pendekatan ini memastikan pelanggan mendapat teknologi yang sesuai dengan keperluan mereka tanpa ketinggalan arus pembangunan automotif.
Jenama Toyota sendiri telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia selama lebih 60 tahun. Model ikonik seperti Hilux, Vios dan Camry bukan sahaja sinonim dengan kegunaan harian, malah turut menjadi teman setia untuk perjalanan pulang ke kampung mahupun sebagai kenderaan kerja lasak bagi para petani dan peniaga. Sejak tahun 2015, Toyota telah menjual hampir 860,000 unit kenderaan di pasaran tempatan.
Bagi memastikan kepuasan pelanggan, UMWT menawarkan pelbagai program selepas jualan melalui Toyota Extra Mile. Ia merangkumi rangkaian pusat servis yang luas, perkhidmatan penyelenggaraan untuk kenderaan hibrid, sokongan digital menerusi aplikasi Toyota MY App, serta waranti lanjutan. Selain itu, pelan Service Savers turut disediakan dengan bayaran serendah RM31 sebulan, membantu pemilik menjimatkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan.
Sempena sambutan Merdeka, Toyota juga menghadiahkan pelanggan dengan tawaran istimewa termasuk penjimatan sehingga RM5,000 bagi model-model terpilih sepanjang bulan September.
Dengan jualan kukuh, rangkaian produk yang dipercayai serta sokongan pelanggan yang berterusan, Toyota terus memainkan peranan penting dalam perjalanan automotif Malaysia – sambil mengekalkan janji untuk terus “Moving Your World” dari generasi ke generasi.