Selepas hampir tiga dekad, nama Ferrari Testarossa akhirnya kembali, kali ini dalam bentuk yang jauh lebih dramatik. Dikenali sebagai Ferrari 849 Testarossa, model baharu ini muncul sebagai sebuah hypercar hibrid yang menggabungkan kuasa klasik Ferrari dengan teknologi elektrik moden.
Bagi peminat automotif, Testarossa asal dari era 1980-an bukan sekadar sebuah kereta, tetapi ikon global yang melambangkan prestasi dan gaya. Kini, Ferrari memberi nafas baharu kepada nama lagenda itu dengan pendekatan yang lebih ekstrem.
Di sebalik bonet, 849 Testarossa dikuasakan oleh enjin V8 twin-turbo yang menghasilkan 818hp. Tidak berhenti di situ, tiga motor elektrik menambah lagi 216hp, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 1,036hp.
Prestasi yang ditawarkan sangat luar biasa – 0–100 km/j hanya dalam 2.3 saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 330 km/j. Malah, ia lebih pantas berbanding Ferrari SF90 Stradale ketika diuji di litar Fiorano.
Sistem hibridnya bukan sekadar untuk kuasa, tetapi juga praktikal. Dengan bateri 6.5 kWh, Testarossa mampu dipandu secara elektrik sejauh 26 km pada kelajuan sehingga 130 km/j, sesuai untuk perjalanan pendek tanpa menggunakan bahan api. Kuasa disalurkan ke semua roda dengan sistem kawalan tork khas yang membantu kestabilan ketika mengambil selekoh.
Ferrari turut menekankan aspek aerodinamik. Sayap belakang aktif bersama dwi-spoiler menghasilkan 415kg daya tekan (downforce), memastikan kereta melekat di jalan lebih baik berbanding SF90. Untuk mereka yang gemar ke litar, pakej Assetto Fiorano ditawarkan, menjadikan kereta lebih ringan dengan prestasi aero tambahan.
Dari segi reka bentuk, 849 Testarossa tidak sekadar meniru model asal, tetapi menggabungkan elemen retro dengan gaya moden Ferrari. Jalur hitam melintang di bahagian depan memberi penghormatan kepada model klasik, manakala keseluruhan rekaan tampil garang dan agresif. Pelanggan boleh memilih sama ada versi coupé atau Spider (convertible).
Bahagian dalaman pula menampilkan pendekatan lebih mesra pemandu. Ferrari membetulkan kelemahan pada model terkini dengan mengembalikan butang fizikal pada stereng, menggantikan kawalan sentuhan yang sebelum ini dikritik. Kabin direka ala kereta lumba, namun tetap dilengkapi kemudahan moden seperti Apple CarPlay, Android Auto, pengecas tanpa wayar dan sistem MyFerrari Connect.
Pengeluaran Ferrari 849 Testarossa akan bermula tahun hadapan, namun tempahan sudah pun dibuka. Dengan kuasa melebihi 1,000hp, teknologi hibrid terkini, serta nama lagenda yang dihidupkan semula, Ferrari membuktikan bahawa masa depan boleh diterajui tanpa melupakan sejarah gemilangnya.































