Piston.my

Lamborghini Bangunkan Teknologi AI Mampu Baca Emosi Pemandu

Lamborghini kini sedang membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) baharu yang bukan sahaja dapat memahami gaya pemanduan seseorang, tetapi juga mampu membaca emosi pemandu ketika berada di belakang stereng.

Menurut laporan The Drive, Ketua Pegawai Teknikal Lamborghini, Rouven Mohr, menjelaskan bahawa syarikat itu sudah pun menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk menyesuaikan aspek seperti tork bergantung pada keadaan jalan dan gaya pemanduan. Langkah seterusnya, kata beliau, adalah menghasilkan kereta yang dapat mengesan mood pemandu dan menukar kelakuannya mengikut situasi.

Sebagai contoh, sekiranya sistem mengesan pemandu berada dalam mood ceria atau mahu lebih keseronokan, kereta akan menjadi lebih bertenaga dan lincah. Namun, jika pemandu mahukan pemanduan santai, sistem akan menenangkan tindak balas kereta. AI ini juga mampu menyesuaikan tahap sistem keselamatan – memberi lebih kebebasan kepada pemandu berpengalaman, tetapi bertindak lebih cepat jika berlaku kesilapan.

Mohr turut menambah bahawa teknologi ini mungkin berperanan sebagai “guru pemanduan.” Misalnya, jika seseorang kerap terlebih memusing stereng ketika membelok, AI boleh mengehadkan input stereng bagi mengelakkan masalah understeer.

Bagi merealisasikan teknologi ini, Lamborghini bergantung pada penderia 6D yang mula diperkenalkan pada model Fenomeno. Penderia sebersaiz bola besbol ini mampu mengukur setiap pergerakan kereta dengan ketepatan yang tinggi dan dalam masa nyata. Data inilah yang membolehkan AI bertindak balas secara serta-merta dan semula jadi.

Walaupun pengeluar lain seperti BMW juga sedang menguji sistem pemantauan pemandu, pendekatan Lamborghini dilihat lebih unik. Matlamat mereka adalah untuk menjadikan kereta masa hadapan lebih daripada sekadar mesin elektronik – sebaliknya mencipta hubungan emosi yang mendalam dengan pemandu, sekali gus menghadirkan pengalaman pemanduan yang penuh jiwa dan semangat.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan