Piston.my

Mercedes-Benz Sahkan Enjin V12 Akan Terus Hidup Sehingga 2030-an

Mercedes-Benz mengesahkan bahawa enjin ikonik V12 mereka akan terus digunakan sehingga dekad 2030-an, meskipun sebelum ini jenama tersebut merancang untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik menjelang akhir dekad ini. Pengumuman tersebut dibuat di acara IAA Mobility di Munich, sekaligus memberi khabar gembira kepada peminat enjin berkuasa besar.

Menurut laporan, Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz, Thomas Schäfer, tidak mendedahkan butiran penuh, namun mengesahkan syarikat mempunyai pelan bagi memastikan enjin V12 memenuhi piawaian pelepasan ketat Euro 7. Walau bagaimanapun, beliau mengakui enjin tersebut tidak akan dipasarkan di semua negara.

Dengan Eropah bakal mengharamkan enjin pembakaran dalaman menjelang 2035, enjin V12 dijangka kekal ditawarkan untuk pasaran tertentu seperti China dan Timur Tengah, di mana permintaan terhadap enjin berkuasa tinggi masih kukuh.

Buat masa ini, Maybach S 680 merupakan satu-satunya model Mercedes-Benz yang masih menggunakan enjin V12, iaitu unit 6.0 liter pengecas turbo berkembar. Mercedes juga terus membekalkan enjin V12 kepada Pagani untuk digunakan pada model hypercar, memastikan “nadi berprestasi tinggi” ini kekal relevan dalam dunia automotif ekstrem.

Selain V12, Mercedes turut menumpukan perhatian kepada enjin lain yang digemari peminat. Enjin enam sebaris (straight-six) dan V8 bakal terus ditawarkan, manakala enjin AMG V8 baharu yang patuh piawaian Euro 7 sedang dibangunkan untuk menggantikan enjin hibrid empat silinder yang kurang digemari.

Walaupun hala tuju utama Mercedes-Benz masih berfokus kepada elektrifikasi, jelas bahawa jenama ini tidak mahu mengorbankan warisan mereka. Enjin V12, yang sejak sekian lama dianggap simbol keistimewaan dan kemewahan Mercedes, akan terus bergema di jalan raya – sekurang-kurangnya di pasaran yang masih membenarkannya.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan