Piston.my

Nadi Willer Perkenal Platform Mobiliti Baharu untuk Kurangkan Kesesakan di Kuala Lumpur

Kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur mungkin bakal berkurangan hasil inisiatif Nadi Willer Sdn. Bhd., yang kini memperkenalkan sistem Mobility-as-a-Service (MaaS) berinspirasi dari Jepun. Syarikat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ibrahim Aiman Bin Mohd Nadzmi, mahu memudahkan pergerakan harian rakyat Malaysia tanpa bergantung sepenuhnya pada kenderaan persendirian.

Teras utama inisiatif ini ialah mobi DRT, sebuah perkhidmatan teksi mini berasaskan aplikasi yang menghubungkan orang ramai dengan rangkaian pengangkutan awam seperti bas dan tren. Dengan menyediakan penyelesaian untuk perjalanan “first mile” dan “last mile”, Nadi Willer berharap ia mampu mengurangkan penggunaan kereta sekali gus melegakan kesesakan di bandar raya.

Perkhidmatan ini berkembang pesat sejak dilancarkan. Sehingga Ogos 2025, mobi DRT beroperasi di 26 kawasan, telah berkhidmat kepada lebih 400,000 penumpang, dan mendaftarkan 100,000 pengguna. Kajian pengguna mendapati 88% daripada mereka menggunakannya untuk menyambung perjalanan ke pengangkutan awam, dengan ramai memilih untuk tidak lagi memandu sendiri atau bergantung kepada ahli keluarga.

Bagi memperluas capaian, Nadi Willer memperkenalkan tiga inisiatif baharu:

  1. Aplikasi perancang perjalanan yang menyatukan data masa nyata bas, tren dan mobi DRT.

  2. mobi CONNECT, iaitu perkhidmatan perkongsian kenderaan jarak pertengahan berasaskan kecerdasan buatan (AI). Laluan pertamanya menghubungkan Mont Kiara dengan LaLaport Bukit Bintang City Centre, sekali gus memberi akses terus kepada rangkaian tren utama serta bas ulang-alik.

  3. Program latihan dan keselamatan pemandu berasaskan piawaian Jepun, termasuk pemeriksaan ketat serta prosedur pengauditan yang teliti.

Melalui usaha ini, Nadi Willer mahu tampil bukan sekadar sebagai aplikasi e-hailing biasa, tetapi sebagai pemacu perubahan ke arah penggunaan pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan mesra alam. Matlamat jangka panjangnya adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kereta persendirian serta membina bandar raya yang lebih hijau dan mampan.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan