Nissan telah melancarkan Z 2026 sempena acara tahunan ZCON ke-38, memperkenalkan Edisi Heritage yang memberi penghormatan kepada model ikonik generasi keempat Z32 dari era 1990-an khusus untuk pasaran Amerika Syarikat.
Edisi khas ini hanya ditawarkan pada varian Z Performance dengan harga tambahan USD2,940 (sekitar RM12,411), menjadikan harga keseluruhan sekitar USD55,910 (lebih kurang RM236,023). Ia tampil dengan rim gangsa RAYS bersaiz 19 inci, spoiler belakang gentian karbon bersama lencana retro “Twin Turbo”, grafik badan berwarna gangsa, plat pintu unik, alas kaki eksklusif, serta warna badan nostalgia Midnight Purple yang cukup sinonim dengan warisan Z.
Barisan penuh Nissan Z 2026 terdiri daripada tiga varian iaitu Sport, Performance dan NISMO, dengan harga bermula dari USD42,970 (lebih kurang RM181,419). Bagi varian Sport dan Performance, pelanggan turut mendapat pilihan warna baharu Boulder Grey dengan bumbung hitam kontras.
Reka bentuk generasi ketujuh ini jelas mengekalkan elemen warisan Z. Bonet dengan bonggol terangkat mengimbau model asal, lampu nyalaan siang LED berbentuk bulan sabit diinspirasikan daripada 240ZG, manakala bahagian belakang dengan lampu bujur memanjang serta panel tengah hitam memberi penghormatan kepada Z32.
Bahagian kabin pula mengekalkan sentuhan klasik dengan tiga meter analog di papan pemuka yang memaparkan boost turbo, kelajuan turbin, dan voltan bateri. Tata atur dalaman direka ringkas tetapi berfungsi, diinspirasikan daripada model Z terdahulu.
Semua varian Z dikuasakan oleh enjin 3.0 liter V6 twin-turbo yang menghasilkan 400hp dan 475Nm, digandingkan sama ada dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik sembilan kelajuan. Varian Sport dilengkapi rim 18 inci, paparan digital, skrin infotainmen 8 inci, Apple CarPlay, Android Auto serta Intelligent Cruise Control.
Varian Performance pula menambah limited-slip differential mekanikal, rim tempa RAYS 19 inci bersama tayar Bridgestone Potenza, brek yang dipertingkat, kerusi kulit berfungsi pemanas, sistem audio Bose, navigasi, hotspot Wi-Fi, serta skrin 9 inci.
Bagi mereka yang mahukan kuasa maksimum, varian Z NISMO menawarkan 420hp dan 520Nm, dengan talaan transmisi lebih pantas, suspensi lebih keras, aerodinamik dipertingkat serta rim dan tayar lebih lebar. Kabinnya menampilkan kerusi Recaro, butang mula dan mod pemanduan beranod merah, serta stereng balutan kulit dan Alcantara dengan penanda merah jam 12.
Dengan kombinasi prestasi moden dan warisan klasik, Nissan Z 2026 bukan sekadar meneruskan legasi Z, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah sports car ikonik yang kekal relevan untuk generasi baharu peminat kereta.

















