Piston.my

Ora Cat SUV Tanda Kebangkitan Semula Jenama EV Great Wall Motor

Selepas beberapa tahun, jenama kenderaan elektrik (EV) di bawah Great Wall Motor, Ora, kembali semula dengan pelancaran sebuah SUV serba baharu yang dinamakan Ora Cat. Model ini merupakan kereta pertama jenama tersebut sejak tahun 2022 dan menjadi langkah penting dalam usaha kebangkitan semula Ora.

Dilancarkan pada 2018, Ora pada mulanya terkenal dengan rekaan unik serta harga mampu milik. Namun, prestasinya tidak bertahan lama. Model seperti Black Cat dan White Cat gagal memberikan keuntungan, manakala percubaan perkhidmatan perkongsian kereta Ole Sharing juga menemui kegagalan.

Usaha seterusnya melalui model seperti Ballet Cat (menyerupai VW Beetle) dan Lightning Cat/Ora 07 (mirip Porsche Panamera) hanya menarik pembeli niche, tanpa mampu melonjakkan angka jualan. Menjelang 2025, jualan Ora di China merosot kepada hanya 14,781 unit dari Januari hingga Ogos.

Bagi mengubah keadaan, Great Wall kini menyusun strategi kebangkitan semula dengan memperkenalkan empat model baharu, dan Ora Cat menjadi yang pertama. SUV ini ditempatkan di antara hatchback Ora 03 (Good Cat) yang lebih kecil dan fastback Ora 07 yang lebih besar, sekali gus melengkapkan barisan model jenama itu.

Dari segi rekaan, Ora Cat mengekalkan gaya “comel” yang menjadi identiti Ora, dengan lampu hadapan bulat, gril hadapan tertutup, overhang pendek, serta jalur lampu LED penuh di bahagian belakang. Ia turut dilengkapi dengan rel bumbung, rim 18 inci, dan pilihan sistem LiDAR untuk ciri bantuan pemandu termaju.

Dari aspek prestasi, Ora Cat digerakkan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 201hp keluaran Hycet, dipadankan dengan bateri LFP daripada SVOLT. Kapasiti bateri masih belum diumumkan, namun kelajuan maksimum dicatat pada 170 km/j, sesuai dengan karekter EV mesra bandar.

Dengan pengenalan Ora Cat, Great Wall berharap dapat mengembalikan semula daya tarikan jenama Ora selepas bertahun-tahun bergelut dengan jualan yang hambar. SUV ini berpotensi menjadi model yang mampu menarik kembali minat pembeli, bukan sahaja di pasaran China malah di peringkat global.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan