Proton X50 serba baharu kini secara rasmi dinobatkan sebagai SUV nombor satu di Malaysia selepas dilancarkan pada 24 Julai lalu. Model segmen-B ini berjaya memikat hati ramai dengan reka bentuk tajam, ciri moden serta ruang dalaman yang lebih kemas.
Hanya pada bulan Ogos sahaja, lebih 4,000 unit terjual, sekali gus menjadikannya peneraju jelas dalam kelasnya. Menariknya, sambutan hangat datang daripada golongan pembeli muda, sama ada melalui pameran jualan mahupun platform digital.
Kejayaan ini turut didorong oleh permintaan tinggi dari Malaysia Timur. Bagi memastikan pelanggan mendapat pengalaman pemilikan terbaik, Proton memberi penekanan kepada sokongan selepas jualan. Pusat Alat Ganti Wilayah di Kuching, Sarawak kini berperanan sebagai hab utama, memastikan bekalan alat ganti sampai kepada pengedar dengan lebih pantas — ada kalanya dalam tempoh hanya dua hari.
Gudang tersebut kini diperluaskan sehingga 28,000 kaki persegi, tiga kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini, dan mampu menyimpan stok untuk tempoh sehingga tiga setengah bulan. Lebih menarik, gudang ini turut menerima penghantaran terus dari luar negara, sekali gus menjamin kelancaran bekalan.
Bagi tahun 2025, Malaysia Timur menyumbang 20.6% daripada jumlah jualan Proton, dengan penguasaan pasaran meningkat kepada 19.5% berbanding 19% pada tahun sebelumnya. Walaupun Proton X50 mencatat permulaan yang cemerlang, Proton Saga masih kekal sebagai model paling laris di rantau tersebut dengan 13,619 unit terjual setakat ini. Diikuti pula oleh Proton Persona dan Proton X50.
Untuk mengekalkan momentum ini, Proton memberi tumpuan kepada perkhidmatan selepas jualan menerusi program Proton Operational Excellence (POE). Inisiatif ini merangkumi latihan juruteknik, kualiti servis, pengurusan stok dan juga penjagaan pelanggan. Setiap pengedar dinilai pada setiap bulan, dan cawangan terbaik akan menerima pengiktirafan 5-Star Dealer Award sebagai dorongan untuk mengekalkan standard tertinggi.
Dengan populariti Proton X50 yang semakin meningkat serta sistem selepas jualan yang semakin mantap, Proton kini berada pada kedudukan kukuh untuk terus memperkukuh kehadirannya, bukan sahaja di Malaysia Timur malah di seluruh negara.

