Piston.my

Toyota GR Yaris Mendapat Pakej Prestasi Aero Baharu

Toyota Gazoo Racing (TGR) mengumumkan bahawa GR Yaris bakal ditawarkan dengan pakej baharu yang dinamakan “Aero Performance Package”, yang akan mula berada di pusat jualan Toyota di Jepun bermula 1 Oktober 2025.

Pakej ini dibangunkan dengan input terus daripada dunia perlumbaan, membawa rangkaian penambahbaikan aerodinamik yang direka khas untuk meningkatkan penyejukan, kestabilan dan keseimbangan pada kelajuan tinggi.

GR Yaris sememangnya lahir daripada DNA rali, dan pakej ini membawa kaitan itu ke tahap seterusnya. Jurutera Toyota telah menguji komponen baharu ini secara intensif dalam perlumbaan Super Taikyu Series dan Kejohanan Rali Jepun, dengan pelumba profesional turut memberi maklum balas untuk membentuk tetapan akhir.

Pakej ini hanya ditawarkan pada varian RZ “High Performance” dan RC, menggabungkan enam komponen khusus yang direka untuk menolak prestasi aerodinamik serta pengendalian ke tahap lebih ekstrem.

Antara sorotan utama ialah bonet aluminium berliang yang diinspirasikan daripada versi gentian karbon pada GRMN Yaris. Diuji dalam perlumbaan rali, bonet ini meningkatkan penyejukan dengan mengeluarkan haba dari ruang enjin.

Untuk memastikan kereta kekal stabil pada kelajuan tinggi, lip spoiler hadapan baharu dipasang bagi mengurangkan angkatan udara di bahagian depan, sekali gus menajamkan imbangan keseluruhan – idea yang lahir daripada maklum balas pelumba yang mahukan kestabilan tambahan.

Di bahagian sisi, saluran udara pada fender membantu melepaskan udara terperangkap dari gerbang roda hadapan, meningkatkan rasa kawalan stereng ketika membrek kuat dan menambah kestabilan ketika memasuki selekoh. Di bawah kereta, penutup tangki bahan api yang direka semula melancarkan aliran udara sepanjang bahagian bawah, diinspirasikan daripada tangki keselamatan berrekaan rata pada jentera lumba Super Taikyu.

Bahagian belakang pula menerima sayap besar boleh laras yang menambah daya tekan ke bawah (downforce) untuk kestabilan lebih baik ketika membrek keras, di samping mengurangkan kesan “snaking” pada kelajuan tinggi. Pemandu boleh melaras sudut sayap mengikut keperluan — sama ada untuk pemanduan di litar atau sekadar pemanduan harian.

Bumper belakang turut direka semula dengan saluran udara terbina bagi mengurangkan seretan serta menghapuskan kesan ‘parachute’, hasil daripada pengalaman sebenar dalam perlumbaan di mana bumper sering tercabut akibat tekanan aero melampau.

Secara keseluruhan, Aero Performance Package menjadikan GR Yaris lebih tajam dan berfokus kepada prestasi litar, namun masih mengekalkan kebolehgunaan harian yang menjadikannya popular dalam kalangan peminat. Ia jelas membuktikan bagaimana pelajaran dari dunia perlumbaan dipindahkan terus ke kereta jalanan — menjadikan GR Yaris yang sudah garang, kini lebih mengujakan untuk dipandu.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan