Piston.my

GWM Perkenal Haval Big Dog Plus dengan Kuasa dan Teknologi Baharu

Great Wall Motor (GWM) telah melancarkan Haval Big Dog Plus, versi terbaharu SUV popular mereka yang kini tampil dengan lebih kuasa, lebih teknologi serta pilihan enjin yang pelbagai. Model ini ditawarkan dalam lima varian dengan harga anggaran antara RM88,000 hingga RM119,000, merangkumi pilihan enjin petrol dan juga hibrid plug-in (PHEV).

Dari segi reka bentuk, Big Dog Plus hadir dengan gril baharu yang lebih garang bersama logo HAVAL bercahaya yang lebih besar di bahagian hadapan. Lampu utama bulat yang menjadi identiti model ini masih dikekalkan, manakala bahagian belakang kini menggunakan logo GWM menggantikan tulisan Haval.

Di sisi, kemasan rivet menambah imej lasak. Keupayaan off-roadnya turut dikekalkan dengan sudut pendekatan 24°, sudut berlepas 30°, serta kedalaman meredah air sehingga 560 mm.

Pilihan enjin petrol terdiri daripada unit 1.5 liter turbo dengan kuasa 181hp dan 275Nm, dipadankan bersama transmisi 7-kelajuan DCT, serta enjin 2.0 liter turbo berkuasa lebih tinggi iaitu 235hp dan 385Nm, bersama transmisi 9-kelajuan DCT. Penggunaan bahan api dianggarkan antara 7.6 hingga 8.6L/100km.

Bagi varian PHEV, ia menggabungkan enjin 1.5 liter petrol bersama dua motor elektrik, memberikan pemanduan pacuan semua roda dengan kuasa tarikan yang lebih mantap.

Pelanggan boleh memilih antara dua kapasiti bateri yang mampu menawarkan jarak pemanduan elektrik penuh sejauh 105 km atau 150 km. Penggunaan bahan api pula amat menjimatkan, iaitu sekitar 1.13L/100km.

Bahagian dalaman pula menampilkan rekaan moden dengan stereng dua jejari, kluster meter digital 12.3 inci, serta skrin sesentuh besar 14.6 inci yang menggunakan sistem operasi Coffee OS 3.0 dengan kawalan suara lebih pantas.

Dari aspek praktikal, SUV ini menyediakan sehingga 38 ruang simpanan, enam beg udara, serta ruang but yang boleh diperluas daripada 474 liter hingga 1,362 liter.

Dengan gaya lebih segar, pilihan enjin yang pelbagai dan teknologi baharu, Haval Big Dog Plus disasarkan untuk menarik minat kedua-dua kelompok – pembeli tradisional yang masih mahukan enjin petrol serta mereka yang lebih cenderung kepada SUV hibrid yang lebih efisien.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan