Porsche Asia Pacific telah memulakan pembinaan Porsche Experience Centre (PEC) pertamanya di Singapura, yang dijadualkan siap dan dibuka kepada umum pada tahun 2027. Pusat ini merupakan yang ke-11 di dunia, sekali gus menjadi langkah besar buat Porsche dalam memperkukuh kehadirannya di rantau ini.
Pusat pengalaman serba moden itu akan dibina di kawasan seluas 14 hektar bersebelahan Lapangan Terbang Changi. Ia bukan sahaja disasarkan kepada peminat pemanduan, malah turut direka untuk menarik perhatian keluarga serta pelancong. Antara tarikan yang bakal disediakan termasuk litar sepanjang dua kilometer, zon drift, simulator pemanduan, pameran kereta dari Muzium Porsche, serta pelbagai kemudahan makanan dan ruang acara.
Menariknya, buat pertama kali dalam sejarah mana-mana PEC di dunia, pusat di Singapura ini akan turut menampilkan sebuah pusat servis selepas jualan berskala besar bagi memberikan sokongan lebih menyeluruh kepada pelanggan. Aspek kelestarian juga diberi keutamaan, dengan penggunaan kenderaan elektrik serta fasiliti mesra alam yang selaras dengan Green Plan 2030 Singapura.
Majlis pecah tanah telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Porsche Asia Pacific, Hannes Ruoff, bersama wakil daripada Lembaga Pelancongan Singapura, Kumpulan Lapangan Terbang Changi, dan rakan kongsi tempatan Eurokars Group. Kesemua pihak menegaskan bahawa projek ini mencerminkan komitmen jangka panjang Porsche di Asia Tenggara, selain mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab pelancongan utama.
Dalam perkembangan berkaitan, Porsche turut menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Lapangan Terbang Changi untuk mengintegrasikan pusat ini dengan kawasan lapangan terbang yang lebih luas. Projek ini akan dihubungkan dengan tarikan sedia ada seperti “Porsche at Jewel” yang menampilkan kereta pameran, ruang runcit dan pilihan gaya hidup di dalam kompleks Jewel Changi Airport.
Apabila siap kelak, Porsche Experience Centre Singapura bukan sahaja akan menawarkan pengalaman pemanduan dan gaya hidup yang unik, malah membawa jenama Porsche lebih dekat kepada pelanggan serta pengunjung di salah sebuah bandar paling sibuk dan dinamik di dunia.

