Subaru kembali mencuri perhatian dunia automotif dengan memperkenalkan dua edisi khas berwarna terang untuk tahun 2026 – WRX Series.Yellow dan BRZ Series.Yellow. Kedua-dua model ini dihadkan hanya 350 unit setiap satu, menjadikannya koleksi eksklusif yang pasti diburu peminat setia Subaru.
Kedua-dua model dibangunkan berasaskan varian tS berprestasi tinggi, menggabungkan warisan rali Subaru dengan teknologi moden dan keseronokan pemanduan sebenar.
Bagi WRX Series.Yellow, Subaru mengekalkan DNA prestasi semua-cuaca yang menjadi identitinya. Model ini dipacu enjin 2.4 liter turbo Boxer dengan 271hp, dipadankan hanya dengan kotak gear manual enam kelajuan. Bahagian suspensi pula ditala oleh Subaru Tecnica International (STI), dilengkapi penyerap hentak boleh laras yang menyeimbangkan keselesaan dan pengendalian tajam.
Reka bentuk luaran turut diperkemaskan dengan rim hitam 19 inci, tayar Bridgestone, serta kabin sporty dengan kerusi Recaro yang dijahit dengan benang kuning. Dari sudut teknologi, ia menawarkan paparan sesentuh 11.6 inci dan kluster digital 12.3 inci.
Bagi yang mengutamakan keseronokan pemanduan pacuan roda belakang, BRZ Series.Yellow hadir dengan karekter lebih tulen. Ia dikuasakan enjin 2.4 liter Boxer tanpa turbo yang menghasilkan 228hp, juga hanya dipadankan dengan transmisi manual.
STI melengkapkannya dengan penyerap hentak Hitachi, sistem brek Brembo, serta rim hitam 18 inci bersama tayar Michelin. Bahagian dalamannya menampilkan sentuhan hitam-kuning yang sepadan dengan WRX, bersama kemasan kulit yang menambahkan aura sporty.
Walaupun tampil garang dengan warna kuning yang menonjol, kedua-dua edisi khas ini bukan sekadar gaya, tetapi dibangunkan serius untuk prestasi. Ia mencerminkan fokus Subaru terhadap golongan peminat yang menghargai keunikan, warisan rali, dan pengalaman pemanduan sebenar.








