Piston.my

Era Lampu Bar LED Hampir Berakhir, Hyundai Pilih Arah Baharu

Dahulu, kereta mudah dikenali hanya dengan melihat rekaan lampu belakangnya. Namun kini, ramai model kelihatan hampir sama kerana satu ciri yang sangat popular – Lampu Bar LED. Dari Tesla hingga Porsche, dan lebih ketara pada kereta keluaran China, jalur cahaya ini seakan menjadi standard industri.

Namun, Ketua Rekaan Hyundai, Simon Loasby, berpendapat trend ini sudah sampai ke penghujungnya. Ketika pelancaran Hyundai Concept Three, beliau menjelaskan bahawa lampu bar LED pernah berfungsi dengan baik pada model seperti Grandeur, Kona dan Sonata, tetapi kini kos pembuatannya semakin tinggi dan tidak semua pasaran menginginkannya.

“Di China, pelanggan menganggapnya sebagai keperluan. Tetapi di Eropah, ia tidak begitu penting,” kata Loasby.

Sebagai ganti, Hyundai kini memberi tumpuan kepada rekaan pencahayaan piksel, terutamanya pada barisan kenderaan elektrik Ioniq. Gaya ini memberikan identiti tersendiri pada setiap model, sekali gus mengelakkan semua kereta kelihatan seragam.

Loasby turut menerangkan bahawa falsafah rekaan Hyundai adalah 80% berbeza dan hanya 20% dikenali, supaya setiap kenderaan tampil lebih menonjol. Menariknya, beberapa jenama lain seperti Fiat sudah meniru gaya piksel ini, sesuatu yang beliau anggap sebagai satu bentuk penghargaan, walaupun bersifat sindiran.

Namun begitu, Loasby mengakui rekaan lampu automotif mungkin bakal mencapai hadnya, sama seperti kemasan krom yang suatu ketika dahulu sangat popular tetapi akhirnya ditinggalkan.

Cabaran terbesar sekarang ialah mencari idea baharu yang bukan sahaja praktikal untuk pemandu, tetapi juga mempunyai sentuhan emosi dalam rekaan. Bagi Hyundai, era lampu bar LED kian berakhir, dan sebuah bab baharu dalam dunia rekaan automotif sedang bermula.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan