Piston.my

Proton Melancarkan e.MAS 7 EV Di Singapura

Proton secara rasmi melancarkan kereta elektrik (EV) pertamanya, Proton e.MAS 7, di  Singapura minggu ini sekali gus menandakan kemunculan semula jenama ini di negara jiran selepas kira-kira 11 tahun.  Pelancaran ini juga menyaksikan Proton menembusi tiga pasaran luar negara untuk model EV yang kini muncul sebagai  EV paling laris di Malaysia. 

Majlis pelancaran dihadiri oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Vincent Tan, Ketua Pegawai  Eksekutif VINCAR Group. Turut hadir ialah Ainol Azmil Bin Abu Bakar, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  Proton, Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Edmund Lim Meng Thong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton  International Corporation, Ernest Tan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif VINCAR Group serta Yusri Yusuf, Pengarah  Kanan Strategi Korporat Proton. 

Turut memeriahkan majlis oleh pegawai-pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura iaitu Kavitha  Mathuvay, Menteri (Ekonomi), Vinothan a/l Tulisi Nathzan, Kaunselor (Pelaburan), Siti Nordiana bt Mohamad Akhir,  Pesuruhjaya Perdagangan, dan Intan Shafina Rasdi, Kaunselor (Ekonomi) serta para pelanggan VINCAR dan wakil  media Singapura. 

Proton e.MAS 7 telah membuktikan kedudukannya dalam pasaran EV Malaysia yang kompetitif. Sepanjang lapan bulan  pertama tahun 2025, hampir 6,000 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya model EV paling popular  di Malaysia dengan pegangan pasaran 24 peratus walaupun hanya mempunyai satu model dalam barisan produk ketika  ini. 

Model ini menggabungkan lima teras utama , rekaan bergaya, prestasi kukuh, keselamatan terjamin, keselesaan optimum  dan teknologi pintar ,disokong oleh rangkaian pusat 3S/4S terbesar di Malaysia untuk memberikan kemudahan dan  keyakinan kepada pelanggan, khususnya mereka yang pertama kali memiliki EV. Dengan skor keselamatan ASEAN  NCAP sebanyak 92.57 mata, ia juga menjadi model dengan pencapaian keselamatan tertinggi dalam segmennya. 

Di Singapura, pelanggan boleh memilih Proton e.MAS 7 dalam dua varian, Prime dan Premium, dengan enam pilihan  warna iaitu Platinum Silver, Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose dan Obsidian Black. Dua pilihan  warna dalaman turut ditawarkan, iaitu Indigo Blue dan Alabaster White. 

Pakej ini merangkumi jaminan bateri selama 10 tahun tanpa had jarak perjalanan, lima tahun data roaming percuma di  Malaysia dan Singapura serta bantuan tepi jalan rentas sempadan di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Ini  bermakna, pemilik dari Singapura boleh mendapatkan perkhidmatan menunda kenderaan mereka ke pusat servis  Proton di Malaysia sekiranya berlaku kerosakan ketika berada di Semenanjung Malaysia.

Dengan Malaysia juga bakal memulakan percubaan sistem National Integrated Immigration System (NIISe) pada 22  September, yang akan memudahkan perjalanan antara Singapura dan Johor Bahru, pemilik Proton e.MAS 7 boleh  menantikan pengalaman pemanduan rentas sempadan yang lebih lancar dan selesa. 

Harga pelancaran Proton e.MAS 7 di Singapura ialah SGD175,988 bagi varian Prime dan SGD179,988 bagi varian  Premium termasuk COE yang hanya ditawarkan untuk 99 unit pertama sahaja. Semua pemilik Proton e.MAS 7 di  Singapura juga bakal menikmati bantuan tepi jalan apabila memandu kenderaan di Malaysia. 

Menurut Edmund Lim Meng Thong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, “Pelancaran Proton e.MAS  7 hanyalah langkah pertama bagi kerjasama Proton dan VINCAR di Singapura. Kami akan memperkenalkan lebih  banyak model pada masa akan datang dengan memberi tumpuan kepada pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV)  yang telah matang di Singapura.”

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan