Mitsubishi Motors mengesahkan bakal memperkenalkan versi serba elektrik bagi SUV Eclipse Cross di pasaran Eropah sebelum penghujung tahun 2025. Model ini akan dipasang di kilang ElectriCity Douai Plant milik Renault di Perancis, hasil kerjasama strategik antara Mitsubishi dan Renault.
Eclipse Cross generasi baharu ini merupakan sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) sepenuhnya yang dibangunkan atas platform CMF-EV. Ia dilengkapi bateri 87 kWh yang mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 600 km.
Motor elektriknya menghasilkan kuasa maksimum 214hp dengan tork 300Nm, memberikan pecutan pantas serta prestasi yang bertenaga. Pemandu juga boleh memilih daripada empat tahap brek regeneratif, termasuk fungsi pemanduan satu pedal untuk keselesaan di kawasan bandar.
Dari aspek pengecasan, SUV ini menyokong pengecasan AC sehingga 22 kW dan pengecasan pantas DC pada kadar 150 kW. Mitsubishi turut merancang memperkenalkan versi lebih mampu milik dengan jarak pemanduan lebih pendek pada tahun 2026.
Rekaan luaran Eclipse Cross tampil dengan bahasa reka bentuk “Smart Armor”, menampilkan gril corak sarang lebah, lampu hadapan LED baharu, tandatangan lampu berbentuk J serta rekaan belakang yang lebar dan stabil. Penampilannya dilengkapkan dengan rim 20 inci, menonjolkan gaya tegap dan moden.
Bahagian dalamannya menggabungkan gaya dan fungsi dengan tempat duduk berlima, kerusi berjahitan berlian, kemasan satin perak, serta bumbung kaca panorama yang boleh dilaras tahap pencahayaan hanya dengan menekan butang. Sistem pencahayaan ambien menawarkan sehingga 48 pilihan warna, yang turut berubah mengikut mod pemanduan.
Teknologi menjadi daya tarikan utama dengan paparan sesentuh menegak 12.3 inci yang berasaskan sistem Google built-in, selain sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem audio Harman Kardon pula memastikan pengalaman bunyi yang jelas dan bertenaga dengan pelbagai tetapan bunyi.
Pemandu boleh memilih empat mod pemanduan iaitu Personal, Eco, Comfort dan Sport, di samping kemudahan mengawal kenderaan dari jauh melalui aplikasi Mitsubishi – termasuk semakan status pengecasan, mengunci atau membuka pintu serta lain-lain fungsi. Sistemnya juga sentiasa dikemas kini melalui over-the-air updates.
Dari segi keselamatan, sehingga 20 ciri bantuan pemandu lanjutan disediakan, termasuk sistem MI-PILOT untuk pemanduan lebuh raya dan Rear Cross Traffic Alert bagi membantu mengesan kenderaan dari arah belakang.
Kehadiran Eclipse Cross serba elektrik ini menandakan langkah besar Mitsubishi dalam pasaran EV Eropah, menawarkan gabungan prestasi, teknologi moden dan praktikaliti seharian untuk para pengguna.













