Piston.my

Geely Perkenal Emgrand Generasi Kelima: Lebih Besar, Lebih Berkuasa, Lebih Mewah

Geely secara rasmi memperkenalkan Emgrand generasi kelima, sekali gus menampilkan imej baharu bagi sedan enjin petrol terbarunya. Model ini hadir dengan dimensi lebih besar, enjin lebih berkuasa, serta rekaan lebih tajam berbanding generasi terdahulu.

Dari segi saiz, Emgrand kini berukuran 4,815mm panjang, 1,885mm lebar, dan 1,480mm tinggi, dengan jarak roda 2,755mm. Jika dibandingkan dengan model generasi keempat yang berukuran 4,638/1,820/1,460mm dengan jarak roda 2,650mm, peningkatan ini jelas menjadikan sedan baharu ini lebih menguasai jalan raya, di samping menawarkan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.

Bahagian hadapan menampilkan gril berbentuk poligon ala “waterfall” dengan 12 jalur menegak yang kini disusun lebih jarang, memberikan penampilan lebih kemas. Lampu utama turut direka semula dengan pancaran lebih luas sehingga 170 meter, meningkatkan tahap keselamatan pemanduan malam.

Rekaan belakang pula menampilkan lampu belakang nipis memanjang yang dihubungkan jalur hiasan dengan tulisan GEELY terkini. Bampar belakang turut diberi sentuhan perincian perak serta dwi-ekzos palsu, menambah aura sporty.

Kuasa disalurkan melalui enjin 1.5 liter pengecas turbo yang menghasilkan 178hp dan 290Nm tork, dengan kelajuan maksimum mencecah 200km/j. Ini merupakan lonjakan besar berbanding model terdahulu yang hanya menggunakan enjin 1.5 liter NA dengan 118hp dan 150Nm tork, dipadankan dengan transmisi 8CVT.

Ruang dalaman menerima transformasi menyeluruh. Ia menampilkan stereng pelbagai fungsi bentuk rata, paparan instrumen digital, serta skrin infotainmen terapung bersaiz besar 14.6 inci dengan sistem Flyme Auto. Sentuhan krom menambah kemewahan, manakala pad pengecas tanpa wayar 50W dan tombol gear baharu meningkatkan keselesaan moden. Walaupun serba digital, butang fizikal penting masih dikekalkan untuk memudahkan pengguna.

Bagi pasaran Malaysia, nama Emgrand tidak asing lagi kerana Proton S70, yang dilancarkan pada 2023, dibina berasaskan Emgrand generasi keempat. Model S70 kini ditawarkan dalam empat varian: 1.5T Executive (RM73,800), 1.5T Premium (RM79,800), 1.5T Flagship (RM89,800), dan 1.5T Flagship X (RM94,800).

Buat masa ini, Proton belum mengumumkan sama ada Emgrand generasi kelima akan menjadi asas kepada versi baharu S70. Namun, peningkatan dari segi saiz, prestasi dan kelengkapan jelas menunjukkan usaha Geely untuk terus memacu segmen sedan ke tahap lebih tinggi.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan