Kerajaan telah melancarkan portal rasmi Budi Madani RON95 (Budi95) yang membolehkan rakyat Malaysia menyemak kelayakan mereka untuk menikmati petrol bersubsidi. Melalui skim baharu ini, harga RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter bagi mereka yang layak, berbanding kadar tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter yang akan berkuat kuasa mulai 30 September.
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang menjelaskan bahawa pengguna hanya perlu melalui proses pengesahan ringkas sebelum dapat menikmati harga subsidi tersebut.
Cara Semak Kelayakan
-
Layari laman web rasmi di www.budi95.gov.my
-
Klik pada pilihan “Semak Kelayakan Individu”
-
Masukkan nombor MyKad (tanpa tanda sengkang atau ruang kosong)
-
Keputusan akan dipaparkan serta-merta untuk mengesahkan kelayakan anda
Cara Menggunakan Subsidi
Bagi menikmati petrol bersubsidi, pengguna perlu melakukan pengesahan MyKad sekali sahaja ketika penggunaan pertama. Ia boleh dilakukan terus di terminal MyKad pada pam minyak atau di kaunter stesen minyak yang mengambil bahagian.
Bagi mereka yang membayar menggunakan kad kredit atau debit, pengesahan boleh dibuat di stesen minyak. Sementara itu, pengguna e-dompet terpilih atau aplikasi syarikat minyak boleh melengkapkan pengesahan secara dalam talian melalui proses e-KYC (electronic Know-Your-Customer).
Setakat ini, Touch ‘n Go eWallet, Petronas Setel dan Caltex Go Rewards sudah menyokong ciri tersebut, manakala aplikasi Petron dan BHPetrol dijangka menyusul. Jika pembayaran dibuat melalui aplikasi, pengesahan manual di kaunter tidak lagi diperlukan.
Kuota & Peraturan
Mereka yang layak akan diberikan kuota 300 liter RON95 setiap bulan. Namun, pemandu e-hailing dikecualikan daripada had ini dan boleh mengisi minyak pada kadar subsidi tanpa sebarang had.
Walaupun tiada sekatan harian untuk mengisi minyak, pihak berkuasa menegaskan bahawa langkah penguatkuasaan akan diambil bagi mengelakkan penyelewengan serta penjualan semula secara tidak adil.


