Piston.my

RM35.7 Juta Tunggakan Cukai Jalan: Pemilik Kereta Mewah Jadi Tumpuan JPJ

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mendedahkan bahawa sebahagian pemilik jenama kereta mewah terkemuka dunia kini berdepan tunggakan cukai jalan yang mencecah hampir RM35.7 juta.

Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemilik Porsche mencatatkan jumlah tunggakan tertinggi dengan 4,308 unit kenderaan melibatkan RM13.7 juta. Diikuti Bentley dengan 660 kenderaan berjumlah RM7 juta, sementara Rolls-Royce dengan 345 kereta menanggung tunggakan RM6.4 juta. Tidak ketinggalan, pemilik Ferrari mencatatkan RM4.7 juta daripada 675 kenderaan, manakala Lamborghini menambah RM3.7 juta melibatkan 372 kenderaan.

Loke menegaskan, kebanyakan kenderaan ini dimiliki oleh individu berprofil tinggi termasuk golongan berstatus, ahli politik dan tokoh korporat, namun masih mengabaikan tanggungjawab asas memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun kerajaan menyediakan subsidi bersasar melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) — termasuk liputan sehingga 300 liter sebulan yang turut dinikmati golongan berada — kewajipan membayar cukai jalan tetap terpakai kepada semua pemilik kenderaan tanpa pengecualian.

Loke mendedahkan terdapat pemilik yang sengaja mengambil risiko tidak membayar cukai jalan kerana beranggapan penalti hanya RM300, jauh lebih rendah berbanding cukai jalan tahunan yang boleh mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 bergantung pada spesifikasi kereta. Dalam satu kes, seorang selebriti dikesan memandu kenderaan dengan hampir tiga tahun tunggakan, sebelum mendakwa ia hanya “terlupa” diperbaharui.

Bagi menangani isu ini, JPJ sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan berterusan melalui Op Luxury, yang setakat ini telah menyaksikan 421 kereta mewah disita dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Anthony Loke menegaskan operasi ini bukan bertujuan memalukan pemilik, sebaliknya untuk memberi peringatan tegas bahawa pembaharuan cukai jalan dan insurans adalah tanggungjawab undang-undang, tanpa mengira darjat atau kedudukan.

Beliau turut memberi amaran, sekiranya trend tunggakan ini berterusan, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan lebih tegas terhadap golongan yang culas.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan