Jenama kenderaan elektrik (EV) dari China, XPENG, kini meluaskan capaian pengecasannya di Asia Tenggara selepas menjalin kerjasama dengan Charge Plus.
Usaha ini memberi pemilik XPENG akses kepada lebih 3,800 stesen pengecasan di Singapura, Malaysia dan Thailand, selain liputan sepanjang 5,000km lebuh raya yang menghubungkan Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Kemboja. Ia sekali gus menjadikan XPENG jenama EV China pertama yang bekerjasama dengan Charge Plus di rantau ini.
Model XPENG seperti G6, G9 dan X9 dilengkapi sistem pengecasan pantas 800V, membolehkan ia memanfaatkan sepenuhnya rangkaian baharu ini. Laluan yang diliputi termasuk keseluruhan sistem lebuh raya utara-selatan di Singapura, Malaysia dan Thailand. Di Singapura pula, rangkaian ini turut merangkumi kemudahan pengecasan awam terbesar negara itu, yang menguasai lebih 30% pasaran.
Beberapa stesen pengecasan XPENG–Charge Plus telah pun mula beroperasi di bandar utama, dan menjelang akhir 2025, pemilik XPENG bakal menikmati kelebihan tambahan seperti diskaun pengecasan.
Menariknya, sistem ini akan disambungkan terus ke paparan dalam kereta, membolehkan pemandu menyemak maklumat stesen pengecasan secara masa nyata serta mengakses navigasi dengan lebih mudah.
Tumpuan utama rangkaian ini ialah model baharu XPENG G6 yang hadir dengan bateri 5C Supercharging AI. Bateri ini membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% hanya dalam 12 minit dengan kuasa sehingga 451 kW — lebih pantas berbanding kebanyakan EV di pasaran hari ini. Selain itu, bateri jenis LFP yang digunakan juga lebih mesra alam kerana tidak memerlukan mineral nadir bumi.
Menjelang 2025, XPENG turut merancang untuk melancarkan sistem “drive-in, charge & go” yang menggabungkan navigasi, pengecasan dan pembayaran dalam satu aplikasi.
Dengan langkah ini, XPENG yakin perjalanan jarak jauh menggunakan EV di Asia Tenggara akan menjadi lebih mudah, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain global dalam industri kenderaan elektrik.


