Chery Malaysia sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan dua model SUV plug-in hibrid (PHEV) terbaharu, iaitu TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV. Kedua-dua model ini bakal dilengkapi dengan teknologi terkini Chery Super Hybrid (CSH) yang menekankan aspek penjimatan bahan api, prestasi serta ciri keselamatan.
Pelancaran ini turut seiring dengan usaha kerajaan Malaysia dalam menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam melalui dasar NIMP 2030, NAP dan NETR.
Dari segi kuasa, kedua-dua SUV ini dipadankan dengan enjin 1.5 liter turbo petrol yang digabungkan bersama Dedicated Hybrid Transmission (DHT) serta dua motor elektrik. Ia disokong oleh bateri 18.3 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 90 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, manakala jarak keseluruhan (gabungan enjin dan bateri) boleh mencapai kira-kira 1,200 km.
Bateri ini turut menyokong pengecasan pantas, di mana tahap cas boleh meningkat daripada 30% ke 80% dalam hanya 19 minit. Dari segi keselamatan, ia dilindungi oleh sistem Chery Guardian Battery Safety System yang memastikan bateri tahan lasak, kalis habuk dan air dengan penarafan IP68.
Ia juga mampu beroperasi dalam keadaan banjir sedalam 500 mm, manakala dalam situasi kemalangan, sistem ini akan memutuskan bekalan kuasa voltan tinggi bagi melindungi penumpang.
Chery menegaskan bahawa kedua-dua SUV ini bukan sahaja menampilkan teknologi canggih, tetapi turut mengutamakan praktikaliti harian dengan gabungan prestasi mantap, keselesaan, keselamatan dan mesra alam.
Buat masa ini, tempahan bagi TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV telah dibuka di bilik pameran Chery dan dekat www.chery.my, dan sesi pandu uji juga disediakan untuk pelanggan yang berminat.


