Chery telah mendedahkan gambar rasmi pertama bagi Tiggo 8 serba baharu, sebuah SUV mid-size yang direka khusus untuk kegunaan keluarga. Versi terbaharu ini tampil dengan saiz lebih besar, rekaan lebih moden serta konfigurasi lima tempat duduk. Pelancarannya dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.
Tiggo 8 merupakan antara model utama Chery di pasaran China, di mana ia ditawarkan dalam beberapa varian berbeza. Popularitinya juga terbukti apabila hampir 16,000 unit berjaya dijual pada bulan Ogos sahaja.
Bagi model baharu ini, pelanggan boleh memilih antara dua rekaan hadapan. Pilihan pertama menampilkan lampu utama berlapis bersama gril berbentuk X yang lebar, manakala pilihan kedua hadir dengan lampu utama bersepadu tunggal dipadankan dengan gril bercorak berlian yang lebih garang.
Di bahagian belakang, Tiggo 8 kini menggunakan jalur lampu LED penuh menggantikan lampu berasingan, disertai dengan logo “Chery” baharu serta dwi paip ekzos yang memberikan gaya lebih sporty.
Dimensinya juga semakin besar. Tiggo 8 kini berukuran 4,749 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,710 mm tinggi, dengan jarak roda mencecah 2,825 mm. Pertambahan ini memberikan ruang dalaman lebih luas, sekali gus meningkatkan keselesaan penumpang serta kapasiti ruang kargo.
Setakat ini, Chery masih belum mengesahkan pilihan enjin untuk model baharu ini, namun dijangka ia akan menawarkan prestasi lebih berkuasa berbanding generasi sebelumnya.
Sebagai perbandingan, Tiggo 8 Pro yang dipasarkan di Malaysia dilengkapi enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 256 hp dan 390 Nm tork, digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (DCT) serta pacuan roda hadapan.
Dengan rekaan lebih besar, penampilan moden dan praktikaliti yang dipertingkat, Tiggo 8 serba baharu ini dijangka terus mengukuhkan kedudukan Chery dalam segmen SUV keluarga apabila ia mula dijual secara rasmi hujung tahun ini.








