Porsche Malaysia, yang dikendalikan oleh Sime Darby Auto Performance, telah melancarkan secara rasmi model terbaharu Porsche 911 GT3 di Litar Antarabangsa Sepang.
Model prestasi tinggi ini dikuasakan oleh enjin 4.0 liter flat-six yang menghasilkan 510PS dan 450Nm tork. Ia turut menerima kemas kini teknikal termasuk aci sesondol lebih tajam, sistem penyejukan baharu serta injap pendikit yang dipertingkat. Walaupun berdepan peraturan emisi yang lebih ketat, 911 GT3 masih mengekalkan rev tinggi serta bunyi enjin ikonik Porsche.
Bagi transmisi, pilihan 7-kelajuan PDK membolehkan kereta ini memecut dari 0–100km/j dalam 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 311km/j. Versi 6-kelajuan manual pula mencatat 3.9 saat untuk pecutan 0–100km/j, namun menawarkan kelajuan tertinggi sedikit lebih tinggi pada 313km/j.
Dari segi aerodinamik, ia dipertingkat dengan diffuser hadapan baharu, bukaan udara lebih besar, serta rekaan semula sayap belakang dan diffuser. Sistem suspensi pula diadaptasi daripada GT3 RS, termasuk gandar hadapan double-wishbone dan sistem anti-dive untuk kestabilan membrek lebih baik.
GT3 hadir dengan rim 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dengan pilihan tayar trek. Berat keseluruhan dikurangkan kepada 1,420kg melalui penggunaan rim aluminium, bateri ringan, serta pilihan rim magnesium.
Dua varian ditawarkan kepada pelanggan Malaysia:
-
911 GT3 – dilengkapi sayap belakang tetap.
-
911 GT3 Touring – tampil lebih ringkas dengan spoiler halus, kemasan dalaman kulit serta pilihan tempat duduk belakang.
Kedua-duanya boleh dipadankan dengan pakej khas termasuk pakej trek atau pakej ringan. Menariknya, pakej Clubsport yang merangkumi roll cage dan tali pinggang keselamatan perlumbaan diberikan secara percuma untuk varian GT3 standard.
Bahagian kabin mengekalkan konfigurasi sporty dua tempat duduk dengan pilihan kerusi bucket ringan. Turut ditawarkan skrin mod Trek eksklusif GT3, suis penghidup enjin berbentuk tombol, serta pelbagai opsyen khusus untuk kegunaan di litar.
Melengkapkan pelancaran ini, Porsche Design turut memperkenalkan jam tangan eksklusif untuk pemilik 911 GT3. Dibuat daripada titanium, rekaan jam ini diinspirasikan terus daripada perincian model tersebut.
Di Malaysia, Porsche 911 GT3 dan 911 GT3 Touring kini boleh didapati dengan harga bermula daripada RM2.29 juta.















































