Piston.my

PRO-NET Perkenal Hab Pengecasan DC Pertama di Tanjung Malim

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat Proton, hari ini melancarkan Hab Pengecasan DC pertamanya di Proton Tanjung Malim. Terletak di bangunan pentadbiran, hab ini dilengkapi dengan dua pengecas DC dan empat petak pengecasan, dengan jumlah kuasa output stesen sebanyak 120kW yang membolehkan empat EV dicas sekaligus.

Berbeza dengan kemudahan terdahulu yang dikendalikan penyedia pihak ketiga, ini merupakan infrastruktur pengecasan pertama Proton yang diuruskan sepenuhnya oleh PRO-NET. Langkah ini membuktikan keupayaan Proton untuk mengendalikan rangkaian pengecasannya sendiri, tanpa bergantung kepada pengendali titik pengecasan (CPO) sedia ada, sekali gus memastikan kawalan lebih baik terhadap aspek kemampuan, kebolehcapaian dan pengalaman pengguna.

Hab pengecasan ini dibuka kepada semua pemilik EV tanpa mengira jenama, selepas mendapat kelulusan Lesen ST EVCS. Dengan langkah inklusif ini, PRO-NET menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada kenderaan elektrik sambil memperkukuh pembangunan rangkaian pengecasan di seluruh Malaysia.

Pengecasan Mudah, Mampu Milik dan Tanpa Perlu Muat Turun Aplikasi

Pelancaran ini juga menandakan infrastruktur pengecasan kendiri pertama PRO-NET. Ia memperkenalkan konsep pengecasan tanpa aplikasi, di mana pengguna hanya perlu mengimbas kod QR dan terus menggunakan paparan web untuk memulakan pengecasan serta membuat bayaran dengan mudah. Dalam masa yang sama, pemilik Proton e.MAS dan smart masih boleh memilih untuk menggunakan aplikasi e.MAS dan Hello smart yang telah diintegrasikan sepenuhnya dengan sistem ini.

Selaras dengan misi PRO-NET untuk menjadikan pemilikan EV lebih praktikal dan mampu milik, Proton menetapkan kadar pengecasan pada RM0.80 setiap kWh, antara yang terendah di negara ini. Sempena pelancaran ini, semua pengguna akan menikmati diskaun 50% sepanjang bulan pertama operasi, menjadikan caj hanya RM0.40 setiap kWh bermula 1 hingga 31 Oktober 2025.

Tanjung Malim sebagai Hab EV Malaysia

Pelancaran hab pengecasan ini mengukuhkan lagi peranan Tanjung Malim sebagai nadi perjalanan mobiliti lestari PRO-NET. Dengan kilang pengeluaran EV baharu yang bakal memulakan operasi tidak lama lagi, fasiliti ini bukan sahaja akan memasang EV pertama keluaran tempatan di Malaysia, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu, melahirkan bakat tempatan, dan menyokong pembangunan ekosistem EV yang kukuh sekali gus menjadikan Tanjung Malim sebagai hab EV negara.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan