Piston.my

Toyota dan Mazda Mungkin Bekerjasama Hasilkan Generasi Baharu MX-5 dan GR86

Majalah automotif Jepun, Best Car, melaporkan bahawa Toyota dan Mazda mungkin akan bekerjasama untuk membangunkan generasi seterusnya bagi model ikonik Mazda MX-5 dan Toyota GR86. Jika kerjasama ini menjadi kenyataan, ia akan menjadi langkah besar dalam rancangan Toyota untuk terus mengekalkan kelangsungan model kereta sport mampu milik yang diminati ramai.

Hubungan antara Toyota dan Mazda bukanlah perkara baharu. Kedua-dua jenama ini telah menjalinkan kerjasama sejak tahun 2015, dan hubungan itu diperkukuhkan lagi pada 2017. Mereka pernah bekerjasama dalam projek kenderaan elektrik serta perisian, dan kini tumpuan beralih kepada segmen kereta sport.

Menurut laporan tersebut, jurutera Mazda kini sudah berada di Toyota City bagi mengusahakan projek ini. Toyota dilaporkan menyediakan dana untuk menaik taraf platform ringan MX-5 agar ia boleh digunakan bersama bagi kedua-dua model. Dari segi pengeluaran, kilang Mazda di Hiroshima dijangka menjadi pusat produksi dengan kos pembangunan ditanggung oleh Toyota.

Model MX-5 baharu akan kekal sebagai kereta sport dua tempat duduk, manakala GR86 bakal hadir sedikit lebih besar dengan konfigurasi 2+2. Kedua-dua model dijangka menggunakan enjin 2.0 liter dengan teknologi hibrid, menghasilkan kuasa sedikit melebihi 200 hp. Toyota dilaporkan membangunkan enjin serba baharu, sementara Mazda pula akan mengekalkan enjin sedia ada dengan beberapa penambahbaikan.

Perkongsian platform bukan sesuatu yang asing bagi Mazda. Sebelum ini, MX-5 pernah menjadi asas bagi Fiat 124 Spider, menunjukkan bagaimana strategi kerjasama penting untuk memastikan kelangsungan kereta sport. Ini kerana model sebegini lazimnya dijual dalam jumlah terhad dan kos pembangunan adalah tinggi jika ditanggung sendirian.

Sekiranya perancangan berjalan lancar, generasi baharu Mazda MX-5 dan Toyota GR86 dijangka tiba menjelang 2028, sekali gus memastikan kedua-dua kereta sport popular ini terus berada di pasaran untuk dekad seterusnya.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan