China mungkin memiliki pasaran kereta terbesar di dunia, namun persaingan sengit dalam industri itu mendorong sesetengah pengeluar kereta menggunakan taktik yang meragukan. Menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua, ada syarikat yang dilaporkan membesar-besarkan angka pra-pesanan bagi memberi gambaran seolah-olah kenderaan mereka mendapat permintaan tinggi.
Antara taktik yang digunakan termasuklah meminta pekerja mereka sendiri membuat tempahan dengan deposit yang boleh dipulangkan, manakala ada juga yang menggunakan pihak luar melalui rangkaian dikenali sebagai “rantaian industri kelabu” untuk mencipta angka tempahan palsu. Data ini jarang disemak oleh pihak ketiga, sekali gus menyebabkan jurang besar antara tempahan pra-jualan dengan jumlah jualan sebenar.
Perkara ini telah menarik perhatian pihak berkuasa. Pada September lalu, Kementerian Industri China memulakan kempen selama tiga bulan untuk membanteras iklan palsu dan penipuan dalam talian dalam sektor automotif. Pakar memberi amaran bahawa strategi seperti ini boleh menjejaskan keyakinan jangka panjang terhadap pasaran kereta negara itu.
Fenomena ini bukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini, akhbar Economic Daily pernah menegaskan bahawa amalan pra-pesanan palsu mula-mula menular dalam industri telefon pintar sebelum meresap ke sektor automotif. Ketua Pegawai Eksekutif Nio, William Li, turut mengecam amalan tersebut kerana ia mewujudkan jurang tidak sihat antara jumlah pengeluaran dan jualan sebenar.
Kontroversi ini berlaku ketika pengeluar kereta China sedang bergelut dalam perang harga yang agresif. Beberapa laporan menunjukkan syarikat menggunakan pelbagai helah bagi meningkatkan jualan, termasuk menawarkan insurans percuma atau mengklasifikasikan kereta baharu sebagai kenderaan “terpakai” sebelum dieksport. Malah, ada kerajaan tempatan yang menggalakkan cara ini demi menampakkan pertumbuhan ekonomi.
Walaupun berdepan isu tersebut, angka jualan kereta di China kekal tinggi. Dari Januari hingga Ogos 2025, jualan kenderaan meningkat sebanyak 9.9% kepada 14.9 juta unit. Pada bulan Ogos sahaja, China menyumbang 38% daripada jumlah jualan kereta global, didorong oleh sokongan subsidi kerajaan.