Piston.my

CATL Akan Mula Pengeluaran Besar-Besaran Bateri Sodium-Ion pada 2026

Syarikat gergasi bateri, CATL, mengumumkan bahawa mereka akan memulakan pengeluaran besar-besaran bateri sodium-ion pada tahun 2026. Teknologi baharu ini dijangka menawarkan jarak pemanduan sekitar 500 km, dengan kos pengeluaran yang lebih rendah serta mesra alam berbanding pek bateri berasaskan litium yang digunakan pada masa ini.

Tidak seperti bateri konvensional yang menggunakan litium, teknologi ini memanfaatkan sodium, iaitu bahan yang lebih mudah didapati dan lebih senang diekstrak. Hasilnya, bateri sodium-ion dianggap lebih selamat, kurang memberi kesan negatif kepada alam sekitar, serta lebih mampu milik.

Selain itu, ia juga menyokong pantas pengecasan serta mengekalkan prestasi stabil walaupun dalam suhu ekstrem antara -40°C hingga 70°C.

Kelemahan utama bateri sodium-ion ialah ketumpatan tenaga yang lebih rendah iaitu 175 Wh/kg, menjadikannya menyimpan tenaga yang kurang berbanding bateri litium-ferum fosfat (LFP). Namun, CATL menegaskan bahawa teknologi ini sesuai digunakan pada kenderaan elektrik kecil dan mesra bajet, di mana faktor kos dan keselamatan lebih penting berbanding jarak pemanduan maksimum.

CATL menjangkakan bateri sodium-ion berpotensi digunakan pada lebih 40% kereta penumpang pada masa hadapan, dengan model EV pertama dijangka hadir menjelang 2027. Selain kereta penumpang, syarikat itu juga sedang membangunkan versi bateri ini untuk lori berat dan aplikasi industri lain.

Walaupun bateri solid-state dilihat sebagai penyelesaian utama untuk jangka masa panjang, CATL percaya bahawa sodium-ion adalah langkah penting untuk menjadikan kenderaan elektrik lebih murah, lebih selamat, dan lebih mudah diakses di seluruh dunia.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan