Piston.my

Ops Grip: Sindiket Seludup Tayar Dibongkar, Kerajaan Rugikan RM350 Juta

Satu aduan daripada sebuah pengeluar tayar terkenal dari Itali telah mencetuskan siasatan besar-besaran terhadap kegiatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import di Malaysia. Kes yang kini dikenali sebagai “Ops Grip” itu membawa kepada beberapa siri serbuan di beberapa negeri, dengan ribuan tayar dirampas kerana disyaki tiruan atau tidak diisytiharkan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, siasatan bermula selepas pengeluar tayar dari Eropah mengemukakan aduan berhubung produk tiruan serta corak import yang mencurigakan. Beliau mengesahkan bahawa Itali merupakan antara negara yang terlibat, namun enggan mendedahkan sumber lain. Kesemua tayar yang dirampas kini sedang diperiksa bagi memastikan ketulenannya.

Operasi ini dijalankan oleh Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) yang merangkumi SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Pasukan penguat kuasa menyerbu enam gudang dan tapak kontena di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, sebelum menemukan sebanyak 17,672 tayar. Kesemua rampasan kini sedang disemak dengan pengeluar tayar antarabangsa untuk mengesahkan kesahihan import.

Siasatan memberi tumpuan kepada syarikat yang disyaki menyeludup tayar serta memalsukan pengisytiharan dokumen import. Walaupun Azam tidak mengesahkan sama ada pegawai penguat kuasa terlibat, beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat kakitangan agensi yang bersekongkol. Setakat ini, sejumlah RM70 juta dalam akaun bank yang dikaitkan dengan sindiket telah dibekukan. Pihak berkuasa percaya aktiviti penyeludupan dan pemalsuan dokumen ini telah mengakibatkan kerugian hasil cukai kerajaan sekitar RM350 juta sejak lima tahun lalu.

Wartawan New Straits Times yang menyertai salah satu serbuan di Shah Alam melaporkan penemuan mengejutkan di sebuah kedai tayar di Jalan Kebun. Pihak berkuasa menemui 12 kontena perkapalan yang disusun setinggi empat tingkat, kesemuanya dipenuhi tayar. Sebuah gudang haram di belakang premis turut dijadikan stor tambahan yang menyimpan ratusan tayar, dengan sebahagiannya dijual serendah RM85 sebiji.

Serbuan lain turut melibatkan pejabat pengimport tayar, gudang tambahan serta tapak kontena yang dipercayai digunakan sindiket. Pihak berkuasa kini bekerjasama dengan pengeluar tayar antarabangsa bagi mengesahkan sama ada tayar yang dirampas itu benar-benar diperakui untuk pasaran Malaysia.

Siasatan masih berjalan, dan pihak berkuasa memberi bayangan lebih banyak serbuan akan dilakukan bagi menumpaskan rangkaian penyeludupan ini sepenuhnya.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan