Piston.my

Honda Malaysia Lancar Kempen Ulang Tahun Ke-25 “Because of You”

Honda Malaysia meraikan pencapaian 25 tahun penubuhannya dengan melancarkan kempen khas bertemakan “Because of You”, yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025. Sepanjang tempoh ini, pelanggan berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM1 juta selain menikmati pelbagai program ganjaran istimewa.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata tahun 2025 amat bermakna kerana menandakan suku abad perjalanan syarikat sejak ditubuhkan pada tahun 2000.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pelanggan, kerajaan, pengedar serta rakan kongsi yang telah menyokong Honda sehingga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu di Malaysia selama 11 tahun berturut-turut.

Melalui cabutan bertuah ini, pelanggan berpeluang membawa pulang enam model Honda iaitu WR-V RS, City RS, City Hatchback RS, Civic RS, HR-V varian V terbaharu serta CR-V e:HEV RS. Di samping itu, tawaran rebat Honda Insurance Plus (HiP) turut disediakan.

Mana-mana pelanggan yang membuat pandu uji atau mendaftarkan kenderaan Honda sepanjang tempoh kempen akan menerima sekurang-kurangnya satu penyertaan, manakala lebih banyak penyertaan memberikan peluang yang lebih tinggi untuk menang. Senarai pemenang akan diumumkan setiap bulan melalui Facebook rasmi Honda Malaysia serta rangkaian pengedarnya.

Selain cabutan bertuah, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai ganjaran lain. Program Honda Loyalist & Loyalist Plus menawarkan rebat tunai atau baucar servis sehingga RM2,000 kepada pemilik Honda sedia ada, ahli keluarga mereka serta pemilik motosikal Honda.

Program Upgrader pula memberi rebat atau baucar bernilai sehingga RM1,500 kepada pelanggan yang membeli model City atau WR-V. Khas untuk penjawat awam, mereka yang membeli model City, Civic atau HR-V baharu akan menerima tambahan rebat RM1,500.

Bagi mereka yang ingin menukar kereta lama, Honda Certified Used Cars (HCUC) menyediakan tawaran trade-in yang menarik. Selain itu, Honda turut memperkenalkan pilihan pembiayaan baharu serta diskaun 25% untuk alat ganti selepas jualan terpilih seperti tali sawat alternator, stabiliser link, lower arm, dan penyerap hentak.

Sepanjang 25 tahun beroperasi di Malaysia, Honda telah berkembang menjadi peneraju utama dalam pasaran automotif tempatan. Kilang Pegoh memulakan pengeluaran model CR-V pada tahun 2003, diikuti model hibrid pertama iaitu Civic Hybrid pada tahun 2004.

Kapasiti pengeluaran meningkat dua kali ganda kepada 100,000 unit setahun pada 2014. Honda Malaysia turut mencapai jualan sejuta unit pada 2021, dan pada tahun berikutnya, meraikan kereta buatan tempatan yang ke-satu juta.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan