Piston.my

MG Motor Malaysia Umum Harga Baharu MG4

MG Motor Malaysia mengumumkan harga baharu yang lebih kompetitif untuk MG4, hatchback elektrik paling hangat di pasaran. Penetapan harga ini menjadikan satu-satunya hatchback pacuan roda belakang dalam segmennya lebih mudah dimiliki, sambil mengekalkan gaya dan dinamik pemanduan yang memenangi anugerah.

MG4 kini ditawarkan pada harga RM100,888 bagi varian Lux, RM128,888 bagi Lux Extended dan RM138,888 bagi varian berprestasi tinggi XPower. Penetapan harga baharu ini memberi pelanggan penjimatan melebihi RM28,000 sekali gus meningkatkan lagi daya tarikan MG4 sebagai EV bernilai hebat dalam kelasnya.

Dengan reka bentuk yang menawan, teknologi moden dan rasa pemanduan British yang terserlah, penawaran terbaru MG ini menjadikannya masa terbaik untuk berada di belakang stereng. Rangkaian MG4 memenuhi pelbagai gaya hidup.

MG4 Lux sesuai untuk mereka yang mengutamakan kesederhanaan dan praktikaliti harian, MG4 Lux Extended ideal bagi pemandu yang ingin pergi lebih jauh dengan yakin melalui jarak perjalanan lebih panjang, manakala MG4 XPower pula dicipta khas untuk pencinta keseronokan yang mahukan prestasi bertenaga serta pengalaman pemanduan British yang dinamik.

Langkah strategik ini mengukuhkan komitmen MG Motor Malaysia untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia sambil terus menawarkan gaya, teknologi dan prestasi luar biasa dalam satu pakej yang memikat.

Bagi meningkatkan lagi nilai pemilikan, setiap MG4 hadir bersama pengecas AC Wallbox 7kW AC percuma atau kredit pengecasan, memberikan penjimatan tambahan sehingga RM10,000 untuk varian MG4 XPower dan MG4 Lux Extended serta RM7,000 untuk MG4 Lux.

MG4 turut didatangkan dengan perlindungan waranti menyeluruh untuk ketenangan fikiran,  waranti kenderaan selama 7 tahun atau 150,000 km, waranti bateri voltan tinggi selama 8 tahun atau 180,000 km, serta waranti motor pemacu dan unit kawalan motor selama 8 tahun atau 160,000 km, mengikut mana-mana yang terdahulu.

MGS5 EV yang dilancarkan baru-baru ini kini hadir dengan Pakej Pemilikan Menyeluruh, menawarkan penjimatan sehingga RM10,000. Pakej ini termasuk pengecas AC Wallbox 7kW percuma atau pilihan kredit pengecasan.

Dilengkapi dengan Susun Atur Bateri Mendatar ultra-nipis, MGS5 EV memaksimumkan ruang kabin sambil mengekalkan pusat graviti rendah untuk kestabilan pemanduan yang lebih baik. Sistem kawalan tekanan penyesuaian termaju turut meningkatkan keselamatan serta jangka hayat bateri dengan mengurangkan pengembangan sel, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam segmennya.

Pelanggan boleh memilih antara dua varian iaitu COM dan LUX. Varian COM ditawarkan dengan pilihan bateri 49kWh yang mampu mencapai sehingga 340km WLTP atau bateri 62kWh dengan jarak sehingga 430km. Varian LUX pula dilengkapi bateri 62kWh dengan jarak sehingga 425km.

Semua versi memberikan kuasa 170PS dan tork 250Nm dengan konfigurasi pacuan roda belakang yang merupakan satu-satunya dalam kelasnya serta pengecasan AC 7kW sebagai standard. MGS5 EV ditawarkan pada harga bermula RM115,900.

MGS5 EV mencapai keseimbangan ideal dalam saiz, cukup luas untuk memenuhi keperluan keluarga harian namun kekal lincah untuk pergerakan dalam persekitaran bandar. Dipadukan dengan ciri pemanduan dinamik warisan British MG, ia menawarkan pengalaman pemanduan yang yakin, selesa dan menonjol dalam segmennya.

Sebagai tambahan kepada kemas kini MG4 dan MGS5 EV, MG Motor Malaysia turut memperkenalkan promosi eksklusif untuk model berkuasa petrol. Pelanggan boleh menikmati rebat tunai sehingga RM12,000 bagi MG HS dan sehingga RM8,000 bagi MG5.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan