Piston.my

Prestasi Jualan Proton Kukuh Pada Q3, Jumlah Terkini Melepasi 2024

Selepas mencatat jualan tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada Ogos lalu, Proton meneruskan momentum positif dengan prestasi kukuh pada bulan September, sekaligus melonjakkan jumlah jualan tahun  hingga kini (YTD) melepasi pencapaian tahun 2024. Pada bulan September, Proton berjaya menjual sebanyak 13,395  unit (domestik + eksport), meningkatkan jumlah keseluruhan suku ketiga (Q3) kepada 42,141 unit. Secara kumulatif,  jumlah YTD mencecah 114,297 unit, iaitu 0.9% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.  

Pencapaian ini lebih signifikan kerana jumlah keseluruhan industri (TIV) pada September dianggarkan menurun sebanyak  21.7% kepada sekitar 57,169 unit, hanya sebulan selepas mencapai paras tertinggi tahun 2025. Berdasarkan keputusan  ini, pegangan pasaran Proton dianggarkan berada pada 23.4% untuk bulan September dan 19.9% bagi YTD. Angka  ini adalah yang tertinggi tahun ini dan selari dengan usaha syarikat untuk melepasi 20% penguasaan pasaran automotif  pada 2025 walaupun berdepan persaingan yang semakin sengit. 

Proton X50 yang baru dilancarkan terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, mengekalkan kedudukannya sebagai  SUV paling laris di negara ini. Sebanyak 3,438unit diserahkan pada bulan kedua penuh jualannya, sekali gus  mengukuhkan statusnya sebagai peneraju segmen dan SUV nombor satu di Malaysia.

Data jualan menunjukkan 88% pembeli Proton X50 terdiri daripada pemilik yang menaik taraf kenderaan mereka,  manakala 33% pula merupakan pelanggan baharu Proton. Keputusan ini membuktikan Proton X50 berjaya menarik  minat pengguna yang mencari SUV sporty dengan ciri premium. Sehingga akhir September, jumlah jualan YTD bagi  model ini mencecah 21,154 unit, iaitu peningkatan 24.4% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Proton X70 turut mencatat pertumbuhan positif dengan jumlah jualan YTD sebanyak 6,033 unit pada September,  peningkatan 10.1% berbanding 2024. Bagi Proton X90 pula, sebanyak 194 unit berjaya dijual, mengekalkan statusnya  sebagai SUV segmen-D paling laris di pasaran. 

Model ICE lain juga menunjukkan prestasi kukuh. Proton S70 kekal sebagai peneraju sedan segmen-C dengan tambahan  979 unit pada September. Proton Saga pula melepasi 6,000 unit buat bulan ketiga berturut-turut dengan 6,058 unit, sekali  gus mengekalkan kedudukannya sebagai model keempat paling laris di Malaysia. Proton Persona dan Proton Iriz masing masing mencatatkan 1,161 unit dan 278 unit, untuk terus bersaing rapat dalam segmen masing-masing 

Proton International Sales Corporation, anak syarikat yang menguruskan pasaran eksport, mencatat pencapaian tertinggi  tahun ini dengan 815 unit terjual pada September. Jumlah itu menjadikan jumlah jualan eksport YTD sebanyak 3,959 unit,  iaitu peningkatan 56% berbanding tahun lalu. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Proton sebagai jenama  automotif eksport utama Malaysia.

Kejayaan eksport banyak digerakkan oleh Proton X50 yang mencatat pertumbuhan jualan 220% pada tahun ini. Proton  Saga juga terus menyumbang dengan pertumbuhan 14%, manakala Proton e.MAS 7 semakin mendapat perhatian  dengan 443 unit telah dieksport setakat ini. Selepas Singapura menjadi negara ketiga untuk menerima EV pertama  Proton pada September dan Mauritius bakal menyusul hujung bulan ini, prospek pertumbuhan EV di pasaran luar  negara dilihat semakin cerah. 

Di pasaran tempatan, Proton e.MAS 7 mengekalkan kedudukannya sebagai EV paling laris di Malaysia. Sebanyak 845  unit terjual pada September, menjadikan jumlah keseluruhan 6,656 unit hanya dalam sembilan bulan. Dengan ketibaan  Proton e.MAS 5 yang dijadualkan tidak lama lagi serta permulaan pemasangan tempatan di kilang EV baharu Proton  di Tanjong Malim, syarikat bersedia untuk melonjakkan lagi jualan EV pada tahun 2026.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan