Rolls-Royce Motor Cars meraikan ulang tahun ke-100 model ikoniknya, Phantom, dengan menghasilkan koleksi edisi khas terhad kepada 25 unit sahaja. Setiap unit menampilkan hasil kerja kayu paling rumit yang pernah dihasilkan oleh jenama ini, menggunakan tiga teknik baharu: 3D marquetry, lapisan dakwat 3D (3D ink layering), dan salutan daun emas 24 karat.
Koleksi istimewa ini dicipta bagi menghargai sejarah panjang Phantom sebagai simbol kemewahan dan kehalusan buatan tangan. Pasukan pereka dan tukang di Rolls-Royce menggabungkan lakaran tangan, reka bentuk digital serta peralatan berteknologi tinggi untuk mencipta bahagian dalaman paling artistik dalam sejarah jenama itu.
Bahagian paling menonjol dalam Phantom edisi khas ini ialah panel pintu, yang setiap satunya mengambil masa setahun untuk disiapkan. Rekaannya menggambarkan perjalanan sejarah Phantom melalui corak peta, bunga, dan motif klasik.
Panel tersebut diperbuat daripada kayu Blackwood veneer, dipilih kerana tona warnanya yang gelap serta tekstur semula jadinya yang berubah mengikut pantulan cahaya. Bahkan, penutup pembesar suara disembunyikan di dalam lapisan kayu untuk memberikan sentuhan dalaman yang kemas dan bersih.
Setiap panel diukir dengan teknik laser pada tiga tahap kedalaman, menghasilkan bayang dan sorotan yang mencipta kesan tiga dimensi. Melalui teknik 3D ink layering, lapisan dakwat halus disusun di atas permukaan kayu bagi menambah tekstur dan butiran halus.
Manakala teknik 3D marquetry pula membuatkan potongan kecil kayu timbul sedikit dari permukaan, memberikan bentuk yang bukan sahaja dapat dilihat, malah dapat dirasa.
Buat pertama kalinya, Rolls-Royce turut menggunakan daun emas tulen 24 karat pada bahagian dalaman Phantom. Lapisan emas setebal hanya 0.1 mikrometer itu disusun dengan teliti pada panel untuk menggambarkan perjalanan ikonik yang pernah dilakukan oleh Phantom. Emas tersebut kemudian disalut dengan lapisan pelindung jernih untuk mengekalkan kilauannya.
Lima orang tukang telah menjalani latihan khas di West Dean College, England bagi menguasai teknik penggunaan daun emas mengikut piawaian ketat Rolls-Royce.
Edisi khas ulang tahun ke-100 ini membuktikan kemampuan Rolls-Royce menggabungkan seni pertukangan tradisional dengan teknologi moden. Phantom edisi istimewa ini bukan sekadar meraikan satu abad kecemerlangan, tetapi juga memberi gambaran tentang arah reka bentuk masa depan Rolls-Royce.
Koleksi penuh 100th Anniversary Phantom ini dijadualkan untuk dipertontonkan kepada umum pada penghujung tahun ini.











