Pemandu yang dikenakan caj harga tanpa subsidi bagi petrol RON95 akibat gangguan teknikal di stesen minyak kini boleh memohon bayaran balik, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau menjelaskan bahawa program Budi Madani RON95 (Budi95) yang dilancarkan minggu lalu berjalan lancar di seluruh negara, namun beberapa stesen minyak dilaporkan mengalami gangguan sistem sementara. Gangguan itu, katanya, telah diselesaikan dengan segera.
“Memang ada beberapa aduan tentang gangguan sistem di stesen minyak, tetapi masalah tersebut telah ditangani dengan cepat. Sekiranya ada pemandu yang dikenakan harga tanpa subsidi bagi RON95 disebabkan isu ini, mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik,” katanya seperti dilaporkan oleh The Star.
Permohonan tuntutan boleh dibuat bagi pembelian petrol antara 30 September hingga 31 Oktober melalui portal rasmi di https://mysubsidi.kpdn.gov.my. Pemohon perlu melampirkan bukti pembelian seperti resit transaksi RON95 untuk tujuan pengesahan.
Sistem bayaran balik akan dibuka mulai 9 Oktober. Bagi syarikat pula, mereka perlu berdaftar di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan menunjukkan bukti permohonan kad armada (fleet card) sebelum atau pada 31 Oktober bagi melayakkan mereka menerima bayaran balik.
Setelah proses pengesahan dan kelulusan selesai, bayaran akan dikreditkan ke akaun bank pemohon dalam tempoh 15 hari bekerja.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian pusat panggilan SKPS di 03-8882 5893, 5894, 5923 atau 6667, atau menghantar e-mel ke bayaranbalikmysubsidi@kpdn.gov.my.