Proton melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila semua operasi pembuatan dipindahkan sepenuhnya ke Tanjong Malim, menandakan permulaan era baharu bagi syarikat dan industri automotif negara. Selepas hampir empat dekad menjadi peneraju industri automotif tempatan di kilang Shah Alam, seramai 1,400 kakitangan pengeluaran terakhir kini telah berpindah ke Proton Tanjong Malim yang terletak di Automotive High-Tech Valley (AHTV), Perak.
Unit terakhir Proton Saga mengakhiri pengeluarannya di kilang Shah Alam pada 30 September 2025, menandakan kejayaan pemindahan penuh pengeluaran model tersebut ke fasiliti moden di Tanjong Malim. Sejak itu, pengeluaran Saga diteruskan di sini bersama model Persona, siri SUV X, dan sedan S70 di hab pembuatan berteknologi tinggi yang turut menempatkan kilang pemasangan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama Proton.
Beroperasi sejak tahun 1985, kilang Proton Shah Alam telah menjadi nadi kepada lahirnya industri automotif Malaysia. Dengan keluasan 83.48 hektar dan pelaburan kira-kira RM370 juta, fasiliti ini turut menempatkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) automotif pertama negara, lengkap dengan kemudahan ujian menyeluruh serta trek ujian separa kelajuan tinggi yang memacu keupayaan jurutera tempatan.
Sepanjang tempoh operasinya, kilang tersebut telah menghasilkan lebih daripada 4 juta kenderaan, termasuk model ikonik seperti Saga, Wira, Perdana dan Exora. Kini, ketika Proton memulakan bab baharu di Tanjong Malim, semangat dan daya juang yang sama dibawa bersama untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jenama automotif yang menghubungkan rakyat Malaysia dengan inovasi dan kemajuan.
Satu majlis sambutan khas telah diadakan semalam di Proton Tanjong Malim bagi meraikan 1,400 pekerja, dan disempurnakan oleh Ainol Azmil, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, bersama barisan pengurusan tertinggi Proton.
Dengan penyatuan aktiviti pemasangan, R&D dan pembuatan di bawah satu bumbung, Proton kini menjadikan fasiliti Tanjong Malim sebagai teras global dalam AHTV, yang diiktiraf sebagai salah satu tapak automotif utama di Asia Tenggara.
Kilang ini merangkumi lima bahagian pengeluaran utama — Pemesinan Enjin dan Transmisi, Penekapan (Stamping), Pemasangan Badan (Body Assembly), Cat (Paint), serta Pemasangan Akhir (Trim & Final Assembly) yang membolehkan pengeluaran model seperti Proton Siri-X, S70 dan Saga dijalankan secara efisien dan bersepadu.
Berlandaskan prinsip Industri 4.0, Proton Tanjong Malim dilengkapi dengan mesin tekan mekanikal terbesar di Malaysia serta barisan pemasangan enjin baharu, satu-satunya di luar China yang menghasilkan enjin 1.5 TGDi.
Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 250,000 unit setahun, Proton terus memperkukuh rantaian pembekal tempatan melalui perluasan penyetempatan komponen secara agresif. Pendekatan ini meletakkan kilang Tanjong Malim sebagai hab utama eksport pemanduan sebelah kanan (right-hand drive) bagi Kumpulan Geely di rantau Asia Tenggara, selain menjadi lokasi bagi kilang pemasangan Kenderaan Elektrik (EV) pertama di Malaysia.
Komitmen menyeluruh ini bukan sahaja memastikan rantaian bekalan yang kukuh, tetapi turut merangsang pertumbuhan ekosistem pembekal domestik serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan teknikal EV.
“Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat Proton apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim. Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama ini, Proton kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menjadikan kilang ini sebagai hab utama untuk generasi baharu kenderaan Proton,” kata Ainol Azmil, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Holdings Berhad.


