Porsche terus memperkukuh barisan kenderaan elektriknya dengan pelancaran Macan GTS, varian paling sporty dalam keluarga Macan Electric. Model ini menawarkan kuasa sehingga 571 PS, pecutan 0–100 km/j dalam hanya 3.8 saat, serta kelajuan maksimum 250 km/j, menjadikannya SUV elektrik berprestasi tinggi yang mengekalkan semangat sukan sebenar Porsche.
Nama GTS (Gran Turismo Sport) sememangnya sinonim dengan gabungan kuasa, ketangkasan dan keselesaan harian dalam sejarah Porsche. Kini, buat pertama kali, lencana GTS hadir pada model Macan elektrik sepenuhnya. Ia menggunakan bateri berkapasiti 100 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 586 km, dan menyokong pengecasan pantas 270 kW yang mampu mengisi semula daripada 10% ke 80% dalam hanya 21 minit.
Sistem pacuan terdiri daripada dua motor elektrik, menghasilkan 516PS dalam mod biasa dan 571PS dengan Launch Control, bersama 955Nm tork maksimum. Model ini turut dilengkapi dengan mod “Track”, diambil daripada Taycan, bagi mengekalkan suhu optimum bateri ketika pemanduan berprestasi tinggi.
Dari segi pengendalian, Macan GTS menawarkan keseimbangan berat yang lebih condong ke belakang, disokong oleh sistem pacuan semua roda Porsche (AWD) dan Torque Vectoring Plus untuk kestabilan maksimum. Suspensi udara sukan menurunkan ketinggian casis sebanyak 10 mm, dan digabungkan dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) untuk kawalan lebih tepat.
Tambahan pula, sistem stereng gandar belakang (rear-axle steering) turut tersedia bagi memudahkan pusingan di ruang sempit dan meningkatkan ketangkasan di selekoh.
Dari luar, Macan GTS menonjol dengan reka bentuk lebih agresif – termasuk aksen gelap, lampu utama Matrix LED berpenapis asap, dan Pakej Reka Bentuk Sukan (Sport Design Package) yang menambah kemasan hitam berkilat pada bampar, skirt sisi, dan penyudah spoiler belakang. Ia hadir dengan rim 21 inci sebagai standard, dengan pilihan 22 inci, serta warna baharu seperti Crayon, Carmine Red dan Lugano Blue.
Bahagian dalaman pula menampilkan bahan Race-Tex, kerusi sukan dan kemasan gentian karbon, menyerlahkan suasana kabin yang mewah dan dinamik. Pakej GTS Interior Package menambah perincian seperti jahitan berwarna dan tali pinggang keledar sepadan. Paparan digital turut diserikan dengan grafik GTS eksklusif, alat pemasa pusingan (lap timer), serta sistem kawalan suara berasaskan AI.
Dengan gabungan prestasi mengagumkan, teknologi canggih dan gaya ikonik GTS, Porsche Macan GTS membuktikan bahawa dunia SUV elektrik boleh tetap mengekalkan jiwa kereta sukan sebenar — pantas, bergaya dan seronok dipandu setiap hari.
















