WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), pengedar rasmi kenderaan GAC di Malaysia, telah melancarkan GAC M8 PHEV, sebuah MPV mewah berteknologi plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan keselesaan premium dengan prestasi moden.
Model ini ditawarkan dalam dua varian — Premium pada harga RM328,800 dan Luxury pada RM388,800, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Sebagai tawaran pelancaran, pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025 akan menikmati penyelenggaraan percuma selama dua tahun dan pengecas mudah alih bernilai RM3,800.
Dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 liter yang digabungkan dengan sistem hibrid pintar, M8 PHEV menghasilkan 372 PS dan 630 Nm tork. Ia turut dilengkapi dengan bateri 25.57 kWh serta tangki bahan api 56 liter, memberikan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,038 kilometer. Pemandu boleh memilih antara tiga mod pemanduan — Hybrid, Electric First dan Power Save — mengikut keperluan dan situasi pemanduan.
Untuk pengalaman pemanduan yang lebih selesa dan stabil, MPV ini dipasang dengan Adaptive Vehicle Dynamics Control serta Electromagnetic Damping Suspension, yang membantu mengekalkan keselesaan walaupun di permukaan jalan tidak rata.
Dari segi reka bentuk, M8 PHEV menampilkan gril hadapan besar yang berani, lampu utama LED serta rim aloi 18 inci. Bahagian dalaman pula diserlahkan dengan kerusi kulit semi-aniline, sistem penebat bunyi kabin, dan teknologi Cool-Sense Climate System yang menyejukkan kabin tanpa aliran udara terlalu kuat.
Aspek keselamatan turut menjadi tumpuan, dengan M8 PHEV menampilkan beg udara cermin belakang pertama di dunia, sistem bantuan pemanduan Tahap 2 (Level 2 ADAS), dan fungsi parkir automatik. GAC turut menawarkan waranti kenderaan selama 5 tahun atau 150,000 km, serta waranti bateri selama 8 tahun atau 150,000 km.
M8 PHEV kini boleh diuji pandu di semua bilik pameran GAC seluruh negara. Model ini juga akan dipamerkan di Johor Mid Valley SouthKey dari 5 hingga 9 November, dan di Malaysia Car of the Year Showcase di 1 Utama dari 12 hingga 16 November 2025.
Pelancaran GAC M8 PHEV menandakan langkah penting bagi WTCA dalam memperkukuh kehadiran jenama GAC di Malaysia, sekaligus menawarkan pilihan MPV mewah yang sesuai untuk keluarga moden yang menghargai teknologi, gaya dan kecekapan tenaga.




















